Untung bersih Nestle naik kepada RM112.1 juta pada suku kedua 

Perniagaan

PETALING JAYA: Nestlé Malaysia mencatatkan pertumbuhan untung bersih sebanyak  RM112.1 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2025, berbanding RM93.6 juta pada suku sama tahun sebelumnya. 

Pada suku sama, syarikat merekodkan perolehan RM1.67 bilion, iaitu peningkatan 9.5 peratus berbanding suku kedua 2024. 

Syarikat berkata, prestasi ini menunjukkan keupayaan syarikat untuk menguruskan margin menerusi penggunaan rangka kerja “Nestlé Virtuous Circle” secara sistematik, walaupun menghadapi ketidakstabilan harga komoditi. 

Katanya, penekanan ini memberikan tumpuan berterusan kepada kecekapan dan usaha mengoptimumkan kos bagi membiayai pelaburan dana yang memacu pertumbuhan dan meningkatkan bahagian pasaran. 

Peningkatan untung juga mencerminkan pemulihan hasil yang kukuh, disokong oleh pendekatan berhemat kepada penetapan harga dalam suasana kenaikan kos.

Syarikat turut mengumumkan dividen interim pertama sebanyak RM0.70 sesaham, iaitu jumlah yang sama seperti tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Juan Aranols berkata, keputusan suku kedua mengukuhkan panduan syarikat sebelum ini tentang pertumbuhan sihat menjelang separuh pertama 2025. 

“Dalam suasana ketidakstabilan pasaran dan persaingan sengit, kami terus melaksanakan pelan penjenamaan yang teguh dengan berkesan meliputi semua saluran jualan. 

“Kami tetap komited untuk terus memenuhi kepercayaan yang diletakkan oleh rakyat Malaysia terhadap jenama dan produk kami yang sentiasa mempunyai persijilan halal dan berbangga kerana dibuat di Malaysia oleh rakyat Malaysia, untuk rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas mengenai separuh kedua 2025, Juan berkata, pihaknya tetap yakin terhadap keupayaan syarikat memacu momentum pertumbuhan kukuh dan mencapai pemulihan keuntungan pada suku-suku tahun akan datang. 

“Kami sedar dan prihatin tentang ketidakpastian geopolitik yang mungkin memberi kesan terhadap persekitaran perniagaan di Malaysia. 

“Walaupun dengan ketidakpastian yang wujud, kami bertekad untuk memenuhi janji kami untuk membekalkan produk halal yang lazat dan berkhasiat, di bawah jenama kegemaran dan paling dipercayai di Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN