Kad kredit maya Alliance Bank menang anugerah

Perniagaan

PETALING JAYA: Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam sektor kewangan apabila Kad Kredit Maya Visa (VCC) diiktiraf di Anugerah Perbankan Runcit Asia & Kewangan untuk kali ketiga baru-baru ini.

Kemenangannya dalam Anugerah Inisiatif Perbankan Terbuka Tahun Ini tersebut mencerminkan komitmennya dalam menawarkan penyelesaian digital yang inovatif, selamat dan berfokus kepada pelanggan khususnya kepada pelanggan moden dan celik teknologi. 

VCC, kad maya pertama di rantau ini, merupakan inisiatif Alliance Bank untuk memenuhi keperluan pelanggan moden dan celik teknologi yang semakin cenderung kepada perbankan mudah alih dan keutamaan terhadap privasi. 

Ketua Pegawai Perbankan Pengguna Kumpulan Alliance Bank, Gan Pai Li berkata, mereka komited menawarkan kaedah pembayaran yang ringkas, pantas dan selamat kepada pelanggannya. 

“Sama ada untuk membeli-belah dalam talian, membayar langganan atau mengurus perbelanjaan, semuanya menjadi mudah dan selamat menerusi aplikasi mudah alih. 

“Kami gembira melihat semakin ramai pelanggan memanfaatkan kemudahan ini dan kami akan terus berinovasi untuk menambah baik lagi pengalaman pembayaran digital mereka,” katanya dalam kenyataan. 

Beliau berkata, jumlah pemegang kad kredit Alliance Bank telah meningkat dua kali ganda dalam tempoh dua tahun lalu, mencerminkan penerimaan pasaran yang kukuh terhadap VCC dan pertumbuhan pesat dalam kalangan pelanggan. 

Katanya, VCC juga telah membantu mengurangkan sebanyak 93 peratus masa untuk membekukan atau menggantikan kad yang terjejas, selain meningkatkan kecekapan sebanyak 46 peratus menerusi ciri isian automatik digital dan tanda tangan elektronik.

Tambahnya, sebagai sebahagian daripada usaha inovasi dan penambahbaikan pengalaman pelanggan, Alliance Bank turut bekerjasama dengan Samsung dan Google bagi membolehkan fungsi pembayaran NFC. 

“Inisiatif ini menyokong permintaan yang semakin meningkat terhadap pilihan pembayaran mudah alih yang fleksibel bagi membolehkan pengguna VCC melakukan transaksi selamat tanpa sentuhan melalui pelbagai peranti yang serasi. 

“Dengan penambahbaikan ini juga, jumlah transaksi menggunakan VCC meningkat sebanyak 47 peratus. Ini mencerminkan penglibatan pelanggan yang lebih kukuh serta keutamaan terhadap pengalaman pembayaran digital yang lancar,” katanya. 

Sementara itu, VCC telah menerima pengiktirafan global dengan 23 anugerah setakat ini, termasuk dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori Third Party Partnerships dalam Most Innovative Payment Initiatives di Anugerah Retail Banker International Asia Trailblazer 2025. – UTUSAN