PETALING JAYA: Chemical Industries (Malaya) Sdn. Bhd. (CIM), anak syarikat milik Hexza Corporation Berhad, merasmikan kilang pengeluaran ethanol berasaskan jagung serba moden di Persiaran Tasek, Ipoh, hari ini.
Pembukaan kilang baharu itu melambangkan komitmen teguh CIM terhadap kualiti, kelestarian dan pemodenan operasi melalui kaedah pengeluaran kitaran moden serta menandakan pencapaian penting dalam perjalanan pertumbuhan dan inovasi
CIM berkata, mereka kini menghasilkan ethanol melalui proses penapaian dan penyulingan semula jadi menggunakan jagung berkualiti tinggi, sebagai perubahan strategik dari menggunakan molases sebagai bahan asas utama.
“Hasil produk daripada proses tersebut, Distiller’s Dried Grains with Solubles (DDGS) dimanfaatkan semula sebagai makanan ternakan bernilai tinggi bagi memperkukuh amalan ekonomi kitaran CIM.
“Inisiatif itu menjadikan CIM sebagai pengeluar dan pembekal DDGS tempatan yang pertama di Malaysia, sekali gus menyokong keselamatan makanan dan pertanian mampan,” katanya dalam kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, pelancaran kilang ethanol berasaskan jagung oleh CIM membuktikan bahawa prinsip ekonomi kitaran dapat menjana nilai ekonomi sebenar.
“Dengan kemudahan ini, sumber pertanian dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan pada masa sama mewujudkan industri hiliran berimpak tinggi seperti DDGS untuk makanan ternakan.
“Ini memperkukuh rantaian nilai berasaskan bio di Malaysia, mengurangkan kebergantungan import dan membuka sempadan baharu bagi pertumbuhan industri mampan,” katanya.
Pengarah Eksekutif Hexza Corporation Bhd., Foong Leon Chiew pula berkata, pembukaan kilang tersebut merupakan satu pencapaian penting kepada CIM kerana dapat mengukuhkan kedudukan mereka sebagai peneraju pengeluar dan pembekal ethanol dan DDGS di Malaysia.
“Kilang ethanol berasaskan jagung ini merupakan satu pencapaian penting dan pelaburan strategik buat CIM. Ia mengukuhkan kedudukan kami sebagai peneraju pengeluar dan pembekal ethanol dan DDGS di Malaysia serta komitmen kukuh kami terhadap pengeluaran yang mampan,” katanya. – UTUSAN