PSM tidak halang ahli sertai himpunan esok

Politik

KUALA KANGSAR: Parti Sosialis Malaysia (PSM) tidak menerima menerima jemputan untuk menyertai Himpunan Turun Anwar di ibu negara esok namun tidak menghalang jika ahli PSM mahu menyertainya.

Timbalan Pengerusi PSM, S. Arutchelvan berkata, semasa mesyuarat dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pengerusi Perikatan Nasional) baru-baru ini, PSM bertanya kepada apakah matlamat perhimpunan tersebut.

“Beliau memberitahu bahawa perhimpunan esok lebih dianjurkan oleh Pas. Tetapi Pas tidak menyertai mesyuarat tempoh hari bagi menjelaskan mengenai perhimpunan ini.

“PSM tidak boleh menyokong satu perhimpunan yang kami sendiri tidak mendapat penjelasan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Kongres Nasional PSM Ke-27 di sini hari ini.

Turut dijemput ke kongres tersebut ialah Duta Besar Venezuela ke Malaysia, Radames Jesus Gomez Azuaje dan beberapa wakil DAP, MCA serta pertubuhan bukan kerajaan.

Sementara itu, Arutchelvan berkata, partinya tidak menerima apa-apa tawaran daripada Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk gabungan politik semasa pertemuan dengan blok pembangkang pada minggu lalu.

Ditanya adakah PSM terbuka untuk bekerjasama dengan PN, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan oleh ahli parti pada kongres sehingga Ahad.

“Setakat ini PSM hanya bekerjasama dengan parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PSM, Dr. Michael Jeyakumar Devaraj menyifatkan prestasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai mengecewakan kerana banyak janji tidak dilaksanakan.

Beliau juga menyifatkan Perhimpunan Turun Anwar di ibu negara esok tidak mempunyai hala tuju yang jelas.

Menurutnya, pengumuman penghargaan kepada rakyat oleh Perdana Menteri baru-baru ini tidak memberi impak besar yang betul-betul diperlukan rakyat.

“Mendukacitakan (prestasi Anwar). Kerana banyak janji yang diberi tidak ditunaikan. Bantuan yang diumumkan baru-baru ini okay, tetapi tidak mencukupi.

“Apa yang kita mahu sesuatu yang lebih memberi kesan seperti pencen kepada warga emas. Kita mahu satu bentuk perubahan yang memberi impak lebih besar,” katanya. – UTUSAN