PETALING JAYA: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) belum bercadang untuk mewajibkan semua pasukan menyenaraikan pemain B-23 dalam skuad utama bagi saingan Liga Super musim 2025-2026.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd berkata, pihaknya mahu terlebih dahulu melihat kesediaan kelab memberi ruang kepada pemain muda beraksi di pentas tertinggi selepas penamatan Piala MFL.
“Mungkin sebelum ini kita nampak ramai pemain berusia dalam Liga Super kerana ketika itu kita ada Piala MFL. Majoriti pemain muda main di situ, juga Piala Presiden dan Piala Belia.
“Tapi dengan penamatan Piala MFL, kita nak lihat sama ada pemain B-23 akan diberi peluang main dengan pasukan utama dalam Liga Super,” katanya.
Menurut beliau, musim 2025-2026 yang bermula awal bulan depan dijangka menjadi penanda aras sejauh mana kelab-kelab Liga Super benar-benar komited terhadap pembangunan bakat muda.
Statistik sebelum ini meletakkan Liga Super Malaysia di tangga ketiga dunia sebagai liga paling ‘tua’, berdasarkan purata umur pemain, ia sesuatu yang membimbangkan dalam usaha melahirkan pelapis berkualiti untuk skuad kebangsaan.
Situasi itu menjadi semakin hangat diperkatakan selepas skuad B-23 negara tersingkir awal dalam saingan Piala ASEAN B-23, apabila sekadar menamatkan peringkat kumpulan di tempat ketiga.
Kekecewaan tersebut mengundang semula nostalgia zaman kegemilangan skuad Harimau Muda yang berjaya merangkul pingat emas di Sukan SEA 2009 dan 2011, dengan ramai menyifatkan projek pembangunan itu perlu dihidupkan semula.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub, baru-baru ini menjelaskan bahawa sebarang penubuhan semula Harimau Muda bergantung kepada kemampuan bajet FAM.
Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan beberapa pendekatan alternatif sedang dikaji bersama MFL dan Liga Bolasepak Amatur (AFL), termasuk cadangan untuk meletakkan kuota wajib pemain muda dalam pasukan Liga Super dan Liga A1 Semi-Pro.
“Semua cadangan ini masih di peringkat kajian . Kami faham keperluan pembangunan bakat muda dan sedang meneliti pendekatan terbaik,” ujarnya.-UTUSAN