MPC sedia bertolak ansur

Sukan

PETALING JAYA: Malaysia Pro Cycling (MPC) bersikap terbuka untuk berkompromi dalam isu peruntukan menjelang Sukan SEA Thailand 2025, tetapi mengingatkan Majlis Sukan Negara (MSN) agar tidak terlalu berkeras.

Pengarah Sukan MPC, Sayuti Zahit berkata, mereka sanggup mengurangkan permintaan atau mengubah cadangan asalkan penyelesaian yang dicapai tidak meminggirkan kepentingan pelumba dan pasukan.

“Saya bersyukur kerana semua pihak hadir ke mesyuarat, terutama presiden (Datuk Amarjit Singh Gill), ini petanda semua mahu cari jalan penyelesaian.

“Harapan saya MSN beri sedikit kelonggaran dan kita jumpa titik tengah, kami boleh berkompromi tetapi biarlah penyelesaiannya adil untuk semua pihak,” kata Sayuti.

Rabu lalu, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dalam satu mesyuarat mengarahkan jawatankuasa lebuh raya menyediakan bajet baharu yang mengambil kira keperluan MPC dan Terengganu Cycling Team (TSG).

Peruntukan sedia ada sebanyak RM300,000 yang diberikan kepada PKBM daripada MSN awal tahun ini kini hanya berbaki RM196,000 selepas RM104,000 dibelanjakan untuk Kejohanan Asia di Thailand pada Februari lalu.

MSN sebelum ini menegaskan mereka tidak berhasrat menambah dana, sekali gus mencetus ancaman daripada MPC dan TSG untuk tidak melepaskan pelumba masing-masing ke Sukan SEA 2025.

TSG dilaporkan memohon RM250,000, manakala MPC difahamkan meminta jumlah hampir sama termasuk bagi pembelian basikal ujian masa baharu yang kira kira berharga RM80,000 seunit.

Walaupun tidak dijangka semua permintaan akan dipenuhi, Sayuti percaya bajet yang realistik boleh dicapai jika semua pihak bersikap terbuka.

“Selepas bajet dikemukakan nanti, kita tunggu dan lihat apa tawaran balas daripada MSN,” katanya.-UTUSAN