Aaron-Wooi Yik tempah slot final Terbuka China

Sukan

PETALING JAYA: Beregu badminton lelaki No. 2 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menempah tempat ke perlawanan akhir buat kali keenam pada kejohanan berstatus Super 1,000 selepas mengetepikan pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty di separuh akhir Terbuka China, Jiangsu, China, hari ini.

Gandingan No. 1 Malaysia itu melakar kemenangan straight set 21-13, 21-17 ke atas beregu No. 12 dunia tersebut dalam masa 42 minit di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik dekat Changzhou.

Kejayaan tersebut juga menyaksikan Aaron-Wooi Yik semakin melebarkan rekod pertemuan ke atas Rankireddy-Shetty yang merupakan bekas pasangan No. 1 dunia kepada 11-3.

Pada perlawanan akhir, esok, mereka bakal berdepan beregu eksperimen Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri yang menewaskan wakil tuan rumah, Liang Wei Keng-Wang Chang 21-19, 21-17 dalam masa 37 minit.

Apa yang lebih menarik, perlawanan akhir membabitkan beregu lelaki merupakan satu-satunya aksi yang tidak membabitkan wakil China, selepas kesemua kategori lain menyaksikan dominasi tuan rumah yang bertembung sesama sendiri.

Tiada rekod pertemuan tercatat antara Aaron-Wooi Yik menentang Fajar-Fikri memandangkan beregu Indonesia itu baru sahaja dipasangkan untuk menguji keserasian mereka berdua.

Sepanjang kejohanan, Fajar-Fikri mempamerkan prestasi cemerlang termasuk mencipta kejutan ke atas beregu No. 1 dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan di suku akhir.

Justeru, bagi memastikan impian untuk menjulang gelaran sulung pada Super 1,000 dapat direalitikan dan sekali gus melengkapkan koleksi kemenangan dalam Jelajah Dunia, Aaron-Wooi Yik perlu berhati-hati berdepan Fajar-Fikri.

Wooi Yik ketika ditemu bual oleh wakil BWF selepas perlawanan berakhir berkata, tidak mudah berdepan Fajar-Fikri lebih-lebih lagi mereka merupakan beregu yang dipecah ganding.

“Kami kena bermain berhabis-habisan, saya rasa jurulatih kami juga ada perancangan untuk kami, esok.

“Sama ada kami menang atau kalah, itu bukan menjadi persoalannya kerana apa yang lebih penting ialah kami perlu bermain dengan baik,” katanya.

Bagi Aaron pula yang berpendapat kedua-dua beregu mempunyai perancangan permainan yang sama dan aksi yang lebih konsiten serta berani dalam memburu kemenangan menjadi kunci kepada perlawanan akhir, esok. – UTUSAN