PETALING JAYA: Beregu badminton wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah bersikap positif biarpun sekali lagi tumpas di tangan wakil China menjelang Kejohanan Dunia bulan depan.
Beregu No.3 dunia itu percaya masih ada ruang untuk memperbaiki kelemahan mereka menjelang kejohanan yang berlangsung di paris, perancis itu.
Semalam, pada separuh akhir Terbuka China di Jiangsu, Pearly-Thinaah tewas straight set 14-21, 17-21 dalam masa 38 minit kepada Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian yang menghuni ranking No. 7 dunia.
Kekalahan itu menyaksikan rekod pertemuan antara Pearly-Thinaah menentang Yi Fan-Shu
Xian semakin keciciran di belakang kepada 1-4.
Pearly berkata, beregu tuan rumah itu bijak memanfaatkan peluang sebaik mungkin arah angin di dalam gelanggang untuk menyempurnakan pukulan.
“Corak permainan mereka adalah bermain di belakang menentang dan mengikut arah angin, saya rasa strategi mereka sangat baik.
“Kami cuba ubah strategi dalam set kedua untuk bermain menentang angin, saya rasa kami berjaya melakukannya dengan baik, tetapi, sayang sekali ia sudah terlambat, jadi, kami perlu belajar daripada kekalahan ini,” katanya ketika ditemu bual wakil BWF selepas perlawanan tamat.
Justeru, kata Pearly, banyak pengajaran positif yang dikutipnya, semalam, tanpa mengira menang ataupun kalah dan ada kekurangan yang perlu diperbaiki sebaik pulang ke tanah air sebagai persiapan menjelang Kejohanan Dunia.
Thinaah turut sependapat dengan Pearly selepas mengakui masih ada ruang untuk mereka melakukan penambahbaikan dan antaranya ialah belajar daripada kesilapan serta persiapkan diri sebaik mungkin sebelum Kejohanan Dunia.
“Saya rasa momentum yang kami ada semasa masuk ke gelanggang adalah sesuatu yang kami sangat nanti-nantikan dan gembira mengenainya, tetapi, seperti yang Pearly katakan, masih ada ruang untuk penambahbaikan bagi kami berdua.
“Jadi, buat masa sekarang, kami akan berehat dengan baik dan benar, seterusnya adalah Kejohanan Dunia, jadi kami harap dapat bersedia dengan baik,” katanya.
Anak kelahiran Klang, Selangor itu juga enggan memberikan alasan angin di dalam gelanggang dan sebagainya menjadi punca kekalahan kerana apa yang lebih penting ialah mereka berdua perlu berusaha mengubah strategi serta kena kerap berbincang setiap kali membuat persediaan.-UTUSAN