Misi padam rekod 34 tahun

Sukan

PETALING JAYA: Ketua jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun mengakui skuad negara berdepan cabaran getir apabila menentang Thailand dalam aksi final acara regu berpasukan Kejohanan Piala Raja Thai 2025, hari ini.

Turun dengan misi menamatkan penantian panjang selama 34 tahun tidak pernah menewaskan Thailand dalam acara regu berpasukan, pastinya anak-anak buah Ahmad Jais berdepan kesukaran kerana lawan beraksi di laman sendiri.

Menurut Ahmad Jais, bermain menentang skuad tuan rumah yang mendapat sokongan padu penyokong tempatan sudah tentu memberi kelebihan moral buat Thailand, apatah lagi mereka bakal tampil dengan prestasi terbaik di halaman sendiri.

“Bagi saya secara peribadi, cabaran kali ini lebih besar berbanding sebelum ini kerana kita akan menentang pasukan Thailand di hadapan penyokong mereka sendiri.

“Ia telah terbukti dalam beberapa perlawanan sebelum ini apabila sorakan padu penonton memberikan suntikan semangat luar biasa kepada mereka,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Mengulas persiapan skuad negara, Ahmad Jais tidak menafikan kehilangan pemain Apit Kanan negara, Muhammad Afifuddin Mohd Razali sedikit sebanyak memberi kesan kepada perancangan taktikal pasukan kebangsaan.

“Memang bukan satu tugas mudah untuk menewaskan Thailand, apatah lagi tanpa kelibat Afifuddin.

“Namun, saya sudah maklumkan kepada semua pemain tentang perancangan untuk perlawanan akhir dan berharap mereka kekal fokus serta bersedia menghadapi cabaran lebih besar.

“Kita tahu kekuatan pasukan Thailand dan kelebihan bermain di laman sendiri, tetapi saya percaya jika pemain dapat mengekalkan prestasi dan semangat juang tinggi, tidak mustahil kita mampu mencipta kejutan,” katanya.

Jais turut menegaskan bahawa tekanan bukan di pihak Malaysia, sebaliknya pasukannya hadir dengan misi jelas untuk mencabar dominasi skuad tuan rumah.

“Tekanan bukan terletak pada kita. Cuma kelebihan moral daripada penyokong akan menjadi satu nilai tambah untuk mereka, itu sahaja.

“Apa yang penting, kita mahu pastikan pemain turun dengan semangat juang tinggi dan keyakinan penuh,” katanya.

Kelmarin, harapan skuad sepak takraw kuadran lelaki negara untuk mempertahankan gelaran ‘Raja Asia’ di Kejohanan Piala Raja Thai 2025 lebur selepas tewas kepada Jepun dalam aksi separuh akhir di Central Hatyai, Songkhla.