Kejayaan kuartet ke final membanggakan

Sukan

PETALING JAYA: Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Manshahar Abdul Jalil menyifatkan kejayaan kuartet 4×100 meter (m) lelaki negara mara ke final Sukan Universiti Dunia Rhine-Ruhr 2025 di Jerman sebagai satu pencapaian membanggakan.

Beliau berkata, kejayaan mereka menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik dunia pada temasya kali ini sudah cukup untuk dijadikan kayu ukur kemajuan skuad muda negara.

“Kalau ikutkan pencapaian atas kertas, satu perkara penting ialah bahawa negara di Sukan Universiti telah masuk ke final. Itu paling penting dan itu satu pencapaian yang membanggakan.

“Memang saya mengharapkan kalau dapat ke podium itu satu bonus yang sangat besar buat negara, tapi berdasarkan atas kertas, masuk ke final itu sendiri sudah sangat baik,” kata Manshahar kepada Utusan Malaysia.

Semalam, skuad yang dibarisi Muhammad Azeem Mohd Fahmi, Pengiran Aidil Auf Hajam, Mohammad Thaqif Mohammad Hisham dan Aliff Iman Mohd Fahimi menamatkan saringan dengan catatan 39.83 saat sekali gus yang terbaik musim ini.

Catatan itu meletakkan mereka di tempat ketiga saringan pertama di belakang Afrika Selatan (38.85s) dan India (39.12s), selain menewaskan beberapa pasukan pilihan lain.

Untuk rekod, rekod kebangsaan terbaik negara masih kekal 39.09s yang dicatatkan pada Sukan SEA di Hanoi, Vietnam pada 16 Mei 2022.

Dalam pada itu, Manshahar berkata jika rekod itu berjaya dileburkan dalam final nanti, ianya merupakan satu kejayaan besar yang menunjukkan hala tuju positif skuad pecut negara.

“Sekiranya dapat memecahkan rekod kebangsaan, itu satu saya fikirkan satu kejayaan,” kata Manshahar.