KUALA LUMPUR: G&H Cake House Sdn. Bhd., pengeluar kek dan produk bakeri yang memulakan operasi secara kecil-kecilan dari rumah sejak 1998, kini berjaya melebarkan sayap ke pasaran antarabangsa hasil komitmen mendapatkan pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Ketua Pegawai Operasi G&H Cake House, Haniz Amira Ahamat berkata, selepas berpindah ke premis baharu pada 2013, pihaknya mengambil inisiatif memohon pensijilan halal enam bulan selepas beroperasi di lokasi itu.
Katanya, sijil halal sangat penting khususnya untuk menembusi pasaran peruncitan di Malaysia yang menitikberatkan produk bersijil halal.
“Proses permohonan halal agak panjang kerana banyak persiapan dan perubahan yang harus dipatuhi. Alhamdulillah, dalam tempoh kira-kira setahun kami berjaya memperoleh sijil halal dan sejak itu kami sentiasa memperbaharuinya setiap kali sampai tarikh luput tanpa sebarang masalah.
“Untuk pasaran luar negara juga, pensijilan halal sudah mula dikenali dan dipercayai pembeli dari seluruh dunia. Ini satu kelebihan besar bagi kami.
“Sejak memperoleh pensijilan halal, kami berjaya membawa produk ke pasaran dalam dan luar negara termasuk Jepun, Oman, China, Hong Kong, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kemboja.
“Insya-Allah, kami juga sedang merancang untuk menembusi pasaran Arab Saudi dan Jerman. Pensijilan halal ini benar-benar membuka pintu yang lebih luas untuk kami berkembang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Haniz Amira mengakui antara cabaran utama ialah mendidik pekerja untuk sentiasa bersedia menghadapi lawatan audit daripada pihak Jakim.
“Setiap perkara yang dilakukan mesti mengikut garis panduan yang telah ditetapkan supaya piawaian halal sentiasa terjaga.
“Saya optimis bahawa pensijilan halal memberi nilai tambah yang besar kepada sesebuah perniagaan kerana pelanggan akan lebih yakin terhadap kualiti dan kebersihan produk.
“Sijil halal dapat membawa perniagaan kita ke tahap yang lebih jauh berbanding jika kita tidak mempunyai pensijilan. Pelanggan akan lebih percaya pada produk kita,” ujarnya.
Haniz Amira turut menjelaskan bahawa dengan adanya sijil halal, G&H Cake House kini lebih yakin untuk meneroka pasaran global dan bersaing di peringkat antarabangsa.
“Pensijilan halal ialah satu pelaburan untuk masa depan perniagaan kerana ia bukan sahaja memenuhi keperluan agama, tetapi juga menjadi piawaian kualiti yang diiktiraf dunia,” jelasnya.-UTUSAN