Ekosistem kukuh lonjak tarikan pelabur dalam pasaran sektor semikonduktor

Perniagaan

PETALING JAYA: Pelaburan besar dalam sektor semikonduktor negara mencerminkan keyakinan tinggi pelabur asing terhadap potensi Malaysia sebagai hab utama industri berteknologi tinggi di rantau ini.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, Malaysia kekal menjadi destinasi pilihan berikutan kekuatan ekosistem sektor tersebut yang saling berkait antara pemain tempatan dan antarabangsa.

Katanya, ini meskipun ketidaktentuan global seperti ketegangan perdagangan dan tarif Amerika Syarikat (AS) dijangka menjejaskan momentum pertumbuhan ekonomi dunia. 

“Selain limpahan pelaburan langsung asing (FDI), syarikat-syarikat tempatan turut dijangka menerima manfaat secara langsung hasil daripada permintaan rantaian bekalan dan kolaborasi teknologi yang berterusan.

“Faktor seperti infrastruktur yang baik, tenaga kerja mahir mencukupi serta persekitaran dasar dan perundangan yang kondusif jelas menjadi pemangkin utama kepada daya tarikan pelabur untuk melabur dalam industri semikonduktor negara,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Mengulas mengenai jangka masa panjang pelaburan itu, beliau berkata, pembangunan sektor tersebut dijangka membolehkan syarikat tempatan meningkatkan kapasiti pengeluaran sekali gus memperkukuh keupayaan untuk membangunkan teknologi sendiri.

“Langkah itu dilihat penting dalam mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi luar pada masa depan serta memperkukuh daya saing industri semikonduktor tempatan di peringkat global,” katanya. 

Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebanyak lebih RM63 bilion pelaburan telah berjaya diperoleh setahun selepas pelancaran Strategi Sektor Semikonduktor Negara (NSS), termasuk RM5 bilion daripada sumber domestik dan RM58 bilion daripada pelabur asing.

Anwar berkata, antara projek utama yang diluluskan termasuk pembungkusan lanjutan oleh Carsem bagi kecekapan tenaga, kenderaan elektrik (EV), kesalinghubungan dan kecerdasan buatan (AI).

“Ini juga termasuk produk semikonduktor oleh NXP, fasiliti kuasa silikon karbida (SiC) 200mm terbesar dunia oleh Infineon, mikrofon dan sensor MEMS oleh Syntiant serta pembuatan dan pembaikan semula papan litar bercetak oleh Plexus,” katanya dalam ucaptama pada Sidang Kemuncak ASEAN Semikonduktor 2025 (ASEMIS). 

Sementara itu, CIMB Securities berkata, usaha Malaysia untuk muncul sebagai kuasa besar semikonduktor semakin rancak apabila NSS berjaya menarik minat pelabur, sokongan institusi dan kerjasama serantau.

Menurutnya, dengan komitmen pelaburan berjumlah RM63 bilion, pertumbuhan syarikat tempatan berpotensi tinggi serta penjajaran yang lebih erat bersama ASEAN, Malaysia kini semakin kukuh sebagai nod berkecuali tetapi penting dalam ekosistem semikonduktor global.

“Kami berbesar hati melihat NSS mula mendapat daya tarikan pelabur, sokongan institusi serta momentum serantau,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

 Dilancarkan pada Mei 2024, NSS menyasarkan untuk mengubah peranan Malaysia daripada sekadar asas “Dibuat di Malaysia” kepada hab “Dibuat oleh Malaysia” dengan memperkukuh keupayaan dalam reka bentuk litar bersepadu (IC), penyelidikan dan pembangunan serta pembungkusan lanjutan.

Firma penyelidikan itu berkata, sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia turut memimpin usaha penyepaduan rantaian bekalan serantau melalui Rangka Kerja Rantaian Bekalan Semikonduktor ASEAN.

“Peralihan Malaysia daripada asas pemasangan peringkat akhir kepada hab semikonduktor merangkumi reka bentuk hingga pembungkusan masih lagi dalam proses pelaksanaan.

“Namun, kami gembira melihat NSS semakin mendapat tarikan pelabur, sokongan institusi dan momentum serantau,” katanya.

CIMB Securities menyenaraikan Inari Amertron dan Malaysian Pacific Industries Bhd sebagai pilihan utama dalam segmen perkhidmatan pemasangan dan ujian semikonduktor (OSAT), manakala ViTrox turut disebut untuk pendedahan kepada segmen peralatan ujian automatik.-UTUSAN