FAM tidak pilih kasih

Sukan

PETALING JAYA: Semua pasukan dibawah naungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) termasuk skuad wanita dan pelapis di pelbagai peringkat umur diberikan layanan dan perhatian sama rata.

Presidennya, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub berkata, tidak timbul isu badan induk itu hanya memberi layanan terbaik kepada skuad Harimau Malaya dan mengabaikan keutamaan pasukan lain.

“Saya boleh beri jaminan sebagai Presiden FAM, setiap lapisan pasukan tidak kira skuad B23 (Bawah 23 tahun negara) atau pasukan lain mendapat layanan yang sama rata daripada FAM,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan badan induk itu hanya mementingkan kuad Harimau Malaya dan meminggirkan pasukan lain termasuk skuad B-23 yang tersingkir awal di Piala ASEAN 2025 baru-baru ini.

Menurut Mohd Joehari, beliau sendiri mengambil pendekatan turun padang ke kem latihan bagi memastikan semua pasukan mendapat tahap sokongan dan kemudahan yang sepatutnya.

Katanya, FAM juga sentiasa berusaha memastikan pembangunan bola sepak di semua peringkat umur diberi perhatian sewajarnya dan tidak meminggirkan mana-mana kategori.

Terbaharu, Mohd Joehari turun padang bertemu skuad Malayan Tigress B-20 yang bakal mengharungi cabaran Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 2026 bermula 6 Ogos ini di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Dalam aksi kelayakan itu, skuad kendalian Cameroon Ng diundi dalam Kumpulan H bersama gergasi Asia, Jepun, Iran dan Guam.

Mengulas lanjut, Mohd Joehari berkata, kejayaan Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski hari ini tidak akan bermakna sekiranya tiada kesinambungan daripada skuad pelapis.

Sebelum ini, prestasi skuad B23 di Kejohanan Piala ASEAN B23 menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan peminat bola tempatan.

Kegagalan melangkah ke pusingan seterusnya menimbulkan tanggapan bahawa skuad pelapis kurang diberi penekanan berbanding Harimau Malaya yang sentiasa mendapat ruang aksi bertaraf tinggi sebagai persediaan.-UTUSAN