Bayern beli Diaz RM371 juta

Sukan

LONDON: Gergasi Jerman, Bayern Munich telah mencapai persetujuan untuk mendapatkan khidmat pemain sayap Liverpool, Luis Diaz dengan nilai perpindahan bernilai 65.5 juta pound (RM371 juta).

Juara Bundesliga itu sebelum ini membuat tawaran 59 juta pound (RM334 juta) tetapi ditolak oleh juara Liga Perdana Inggeris (EPL itu, namun bidaan baharu yang lebih tinggi dilihat berjaya meyakinkan The Reds.

Bintang Colombia berusia 28 tahun itu diberi kebenaran untuk meninggalkan jelajah pramusim Liverpool di Asia bagi melengkapkan pemeriksaan kesihatan bersama kelab Jerman itu di Allianz Arena.

Diaz menyertai Liverpool dari FC Porto pada Januari 2022 dan membantu pasukan berkenaan memenangi Liga Perdana Inggeris, Piala FA dan Piala Liga sepanjang di Anfield.

Musim lalu, Diaz menjaringkan 17 gol dalam 50 penampilan di semua pertandingan dan memainkan peranan penting untuk skuad kendalian Arne Slot merangkul kejuaraan liga buat kali pertama dalam tempoh lima tahun.

Spekulasi perpindahannya semakin memuncak selepas Diaz tidak disenaraikan dalam skuad perlawanan ketika kekalahan 4-2 kepada AC Milan pada aksi persahabatan di Hong Kong, Sabtu lalu.

Kemasukan Diaz dilihat sebagai pengganti terbaik untuk bintang Jerman, Jamal Musiala, yang disahkan akan berehat panjang selepas patah kaki dan kecederaan buku lali ketika aksi Piala Dunia Kelab awal bulan ini.

Liverpool kini sedang giat memperkukuh skuad dengan kehadiran nama-nama besar seperti pemain tengah Bayer Leverkusen, Florian Wirtz dan penyerang Eintracht Frankfurt, Hugo Ekitike.

Slot turut mendapatkan dua pemain pertahanan, Jeremie Frimpong dari Leverkusen dan Milos Kerkez dari Bournemouth, manakala penjaga gol Georgia, Giorgi Mamardashvili, tiba dari Valencia.

The Reds juga dilaporkan sedang mempertimbangkan tawaran buat penyerang Newcastle United, Alexander Isak yang dianggarkan bernilai 150 juta pound (RM850 juta). – AGENSI