PN perlu keluar daripada kepompong politik ’emosi’

Politik

BUKIT MERTAJAM : Perikatan Nasional (PN) perlu keluar daripada kepompong politik ’emosi’ jika benar-benar ingin menjadi satu kuasa alternatif yang serius pada masa depan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Bukit Mertajam, Abshar Nurasyraf berkata, selain itu, mereka juga perlu membina semula naratif baharu yang lebih inklusif, rasional dan berpaksikan penyelesaian bagi tujuan berkenaan.

Dalam hal ini katanya, Malaysia memerlukan parti pembangkang yang matang, berkonstruktif, berprinsip serta bersedia untuk memikul tanggungjawab dan bukan sekadar ‘menentang untuk menentang’.

“Demokrasi yang sihat hanya akan terjamin jika wujud pembangkang yang mampu menjadi suara rakyat dengan gagasan yang jelas, bukan sekadar dengan retorik kosong dan amarah politik,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mengulas lanjut, Abshar berkata, PN sebenarnya masih mempunyai ruang untuk menjadi pembangkang yang lebih konstruktif pada masa ini.

“Dengan kedudukan kuat di Parlimen, PN masih boleh memainkan peranan ‘semak dan imbang’ serta menawarkan cadangan dasar yang lebih baik untuk rakyat.

“Namun, malangnya, mereka (PN) lebih memilih jalan mudah iaitu untuk mengapi-apikan emosi perkauman dan membina sentimen kemarahan demi kelangsungan politik,” ujar beliau.

Menyentuh mengenai ‘Himpunan Turun Anwar’ pada Sabtu lalu pula, Abshar berkata, himpunan itu sebenarnya dilihat gagal menembusi khalayak lebih luas daripada kalangan rakyat marhaen dan kelompok biasa.

Hal ini demikian kerana katanya, majoriti peserta adalah terdiri daripada kalangan penyokong tegar Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sahaja yang dikerah melalui Kawasan dan Bahagian masing-masing untuk tujuan berkenaan.

“Dalam hal ini, ‘Himpunan Turun Anwar’ juga dilihat gagal untuk menarik kumpulan pengundi atas pagar atau kumpulan bukan partisan selain gagal untuk membawa mesej yang diinginkan sekali gus menjadi retorik tunggangan pimpinan PN semata-mata,” katanya.-UTUSAN