Sepakan penalti milik Gyokeres 

Sukan

SINGAPURA: Penyerang baharu Arsenal, Viktor Gyokeres bakal diberikan peranan sebagai pengambil sepakan penalti utama skuad kendalian Mikel Arteta pada musim depan.

Sejak Alexandre Lacazette membuat keputusan untuk meninggalkan The Gunners, tugasan berat itu menjadi milik Bukayo Saka dan juga kapten pasukan , Martin Odegaard.

Bagaimanapun, kedua-dua pemain berkenaan pernah gagal menyempurnakan sepakan penalti dalam beberapa perlawanan penting sebelum ini, sekali gus merugikan Arsenal.

Arteta berkata, rekod sempurna Gyokeres bersama Sporting Lisbon musim lalu, di mana penyerang Sweden itu berjaya menyempurnakan kesemua 19 sepakan penalti yang diambilnya, menjadikan beliau calon ideal untuk menggalas tanggungjawab tersebut di Arsenal.

“Seperti yang anda tahu, Gyokeres sangat konsisten dan telah menjaringkan banyak gol. Tapi kami juga mempunyai beberapa pengambil penalti lain yang bagus.

“Mereka akan tentukan sendiri siapa yang akan ambil dan jika tidak, saya akan campur tangan pada waktu yang sesuai,” kata Arteta selepas kemenangan 3-2 Arsenal ke atas Newcastle United dalam aksi pramusim di Singapura.

Media British melaporkan Arsenal telah bersetuju membayar yuran perpindahan sebanyak 55 juta pound (RM425 juta) dengan tambahan 8 juta pound (RM61.8 juta) sebagai insentif kepada Sporting, menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 63 juta pound (RM487 juta).

Penyerang berusia 26 tahun itu menandatangani kontrak jangka panjang selama lima tahun sehingga 2029.

Musim lalu, Gyokeres membantu Sporting menjuarai Liga Portugal dan Piala Portugal, termasuk menjaringkan 54 gol dalam 52 perlawanan di semua kejohanan, antaranya satu hatrik menentang Manchester City dalam aksi Liga Juara-Juara.- AGENSI