Jonassen sudah jangka kegagalan skuad remaja di Kejohanan Asia

Sukan

KUALA LUMPUR: Kegagalan pemain perseorangan negara mara ke kelompok lapan terbaik dalam Kejohanan Badminton Remaja Asia 2025 di Solo, Indonesia dianggap sudah dijangka lebih awal oleh barisan kejurulatihan.

Menurut Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen, prestasi yang ditampilkan pemain-pemain muda negara ketika ini belum cukup untuk bersaing di peringkat tertinggi Asia.

“Berhubung prestasi pada Kejohanan Remaja Asia, saya sebenarnya memiliki cita-cita lebih tinggi. Bagaimanapun, saya tahu di manakah tahap kita dan dengan siapakah pemain akan bertemu.

“Mungkin ada sedikit kecewa dengan beberapa individu kerana mengharapkan aksi lebih baik tetapi (keputusan) ini sudah dijangka. Bagaimanapun, saya faham dan akan memperbaiki prestasi,” katanya ketika ditemui di ABM, Bukit Kiara hari ini.

Skuad perseorangan lelaki dan wanita gagal mencipta impak apabila tersingkir awal di pentas kejohanan, sesuatu yang disifatkan pemerhati sukan sebagai satu langkah ke belakang jika dibandingkan dengan pencapaian edisi 2024.

Tahun lalu, skuad negara pulang dengan satu perak dan tiga gangsa, namun kali ini tiada sebutir pingat pun dikutip dalam acara individu, menimbulkan persoalan mengenai hala tuju pembangunan pemain perseorangan negara.

Jonassen bagaimanapun menegaskan kegagalan tersebut akan menjadi asas untuk melakukan penilaian semula terhadap pendekatan latihan dan persediaan pemain.

“Kami akan teliti semua aspek dari fizikal, teknikal sehinggalah mentaliti pemain. Kami tahu bukan mudah bina skuad yang mantap, tapi proses itu sedang berjalan.

“Perjalanan mereka masih panjang, dan kami akan pastikan mereka terus berkembang,” katanya. – UTUSAN