LONDON: Tottenham tidak akan menghalang Son Heung-min jika kapten mereka itu memutuskan untuk meninggalkan kelab pada musim panas ini.
Perjanjian untuk menamatkan karier cemerlang selama sedekad di Utara London dan menyertai kelab MLS, Los Angeles FC (LAFC) dilaporkan sedang dalam proses.
Heung-min telah mendapat tawaran dari Amerika Utara dan Arab Saudi, namun dilaporkan dia lebih berminat untuk berpindah ke Amerika Syarikat.
Walaupun telah memenangi Liga Europa, pemain berusia 33 tahun itu mengalami musim yang mengecewakan bersama Spurs, mencetuskan rasa bahawa beliau mungkin mencari penamat yang emosional 10 tahun selepas ketibaannya.
Kontrak Son hanya berbaki setahun selepas Spurs menggunakan opsyen lanjutan 12 bulan pada Januari lalu, namun LAFC dikatakan berharap dapat menyelesaikan perpindahan itu pada musim panas ini.
Menurut laporan Give Me Sport, Spurs tidak akan menghalang pemergian jika Son memilih untuk pergi, malah mereka juga terbuka untuk membiarkan pemain Korea Selatan itu meninggalkan kelab secara percuma tahun depan.
Son dijangka hanya akan membuat keputusan mengenai masa depannya selepas jelajah pramusim Spurs ke tanah airnya musim panas ini.
Laporan turut menyebut bahawa terdapat klausa pemain utama dalam kontraknya, yang bermaksud Spurs boleh kehilangan hasil komersial yang besar jika Son tidak disenaraikan dalam skuad untuk perlawanan menentang Arsenal dan Newcastle di Korea Selatan.
LAFC dilaporkan hampir mencapai persetujuan syarat peribadi dengan Son dan pegawai kelab percaya mereka boleh memuktamadkan perjanjian dengan Spurs menjelang akhir musim panas ini.
Laporan tersebut turut menyatakan bahawa Son akan berbincang tentang masa depannya dengan pengurus baharu Spurs, Thomas Frank, selepas lawatan itu.
Son mahu mengetahui peranan yang bakal dimainkan dalam perancangan Frank serta berapa banyak minit permainan yang akan diperolehnya sepanjang musim.
Kecederaan dan kemerosotan prestasi menjejaskan aksi Son musim lalu, hingga menyaksikan Ange Postecoglou sering memilih pemain lain pada separuh kedua musim.
Frank dijangka akan melakukan perkara yang sama selepas Spurs menyempurnakan perpindahan tetap untuk Mathys Tel dan Mohammed Kudus.
Ketika memenangi Liga Europa, Son hanya bermain selama 23 minit dalam kemenangan ke atas Manchester United.
Kini, Son mungkin akan meninggalkan Spurs selepas akhirnya memenangi trofi selepas kali terakhir kelab itu menjulang piala pada 17 tahun lalu. – AGENSI