PETALING JAYA: Top Glove Corporation Bhd. diiktiraf atas kepimpinannya dalam tadbir urus korporat sebagai syarikat tersenarai awam (PLC) Kelas Aset ASEAN pada Persidangan dan Anugerah Tadbir Urus Korporat ASEAN (CGCA) 2025.
Ia mendapat tempat dalam kalangan lima PLC Malaysia Terbaik serta 50 PLC ASEAN Terbaik pada persidangan yang dianjurkan oleh Minority Shareholders Watch Group (MSWG).
Pengiktirafan serantau ini adalah berdasarkan penilaian Kad Skor Tadbir Urus Korporat ASEAN (ACGS) 2024, yang dimulakan di bawah Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF) dengan sokongan Bank Pembangunan Asia.
Pengarah Urusannya, Lim Cheong Guan berkata, anugerah ini menegaskan semula kepercayaan syarikat bahawa tadbir urus yang kukuh adalah asas untuk membina nilai jangka panjang bukan sahaja untuk pemegang saham, tetapi untuk setiap pemegang kepentingan.
Katanya, kepelbagaian lembaga pengarah Top Glove, pengawasan bebas yang kukuh, perbincangan yang mantap semasa Mesyuarat Lembaga Pengarah dan penglibatan aktif pengarah bebas dengan pengurusan, kakitangan operasi kilang dan pekerja telah mengukuhkan struktur tadbir urusnya.
“Wakil lembaga pengarah wanita mencapai 42 peratus pada tahun kewangan 2023 dan kini berada pada 44 peratus, melebihi penanda aras industri.
“Sementara itu, semua jawatankuasa lembaga pengarah kekal dipengerusikan oleh pengarah bebas bukan eksekutif untuk memastikan pengawasan yang seimbang,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, syarikat juga telah meningkatkan komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dengan menetapkan sasaran tinggi untuk tahun kewangan 2028, selaras dengan matlamatnya untuk mencapai karbon sifar bersih menjelang 2050.
Menurutnya, dengan pendedahan kemampanan yang diselaraskan dengan piawaian global seperti Inisiatif Pelaporan Global (GRI), Lembaga Piawaian Perakaunan Kelestarian (SASB) dan Pasukan Petugas mengenai Pendedahan Kewangan berkaitan Iklim (TCFD), Top Glove terus menerapkan amalan bertanggungjawab ke dalam operasi hariannya.
“Pelaporan kemampanannya selanjutnya disahkan melalui jaminan luaran, mencerminkan komitmen terhadap ketelusan,” ujarnya. – UTUSAN