LONDON: Bekas pengadil Liga Perdana Inggeris (EPL), Mark Clattenburg membuat pendedahan mengejutkan apabila mendakwa bekas pemain tengah Chelsea, John Obi Mikel, cuba menumbuknya dalam satu kejadian di bilik persalinan selepas perlawanan tegang antara Chelsea dan Manchester United pada 2012.
Dalam pendedahan terbaharunya menerusi sesi podcast Undr The Cosh, Clattenburg, 50, menceritakan detik cemas apabila Mikel secara tiba-tiba menyerbu masuk ke dalam bilik persalinan pegawai perlawanan dan cuba menyerangnya susulan pertikaian berhubung dakwaan penghinaan berbaur perkauman.
“Saya buka pintu dan dia terus hayun tumbukan. Saya sempat menunduk. Dia cuba tolak saya ke dinding sambil menjerit maki hamun,” katanya.
Insiden tersebut berlaku selepas Chelsea menuduh Clattenburg telah menggunakan perkataan perkauman ke atas Mikel, dengan mendakwa beliau memanggil pemain Nigeria itu sebagai “monyet” ketika perlawanan berlangsung.
Bagaimanapun, selepas siasatan dijalankan oleh Persatuan Bolasepak England (FA), Clattenburg dibebaskan daripada sebarang kesalahan, manakala Mikel pula dikenakan hukuman gantung tiga perlawanan dan denda 60,000 pound(RM 342,539), atas tindakannya menyerang pegawai perlawanan.
Menurut Clattenburg, dakwaan perkauman itu turut memberi kesan mendalam terhadap kesihatan mentalnya sehingga hampir membuat keputusan untuk bersara daripada mengadili perlawanan.
“Selama beberapa hari pertama saya tidak boleh makan, tidak boleh minum. Saya tertanya-tanya, adakah saya benar-benar melakukannya? Ia betul-betul membuatkan saya hampir lumpuh secara mental,” katanya.
Clattenburg juga menyuarakan pandangan bahawa insiden tersebut mungkin berpunca daripada cubaan pihak Chelsea untuk ‘membalas dendam’ terhadap FA susulan penggantungan bekas kapten mereka, John Terry, yang didapati bersalah oleh badan induk itu kerana kesalahan perkauman terhadap pemain Queens Park Rangers (QPR), Anton Ferdinand, setahun sebelum itu.-AGENSI