Pogacar tidak sertai Vuelta, pilih untuk berehat

Sukan

PARIS: Pelumba sensasi Slovenia, Tadej Pogacar, tidak akan beraksi dalam perlumbaan Vuelta a Espana bulan depan selepas kejayaan merangkul gelaran keempat Tour de France (TdF) 2025 yang melabuhkan tirainya Ahad lalu.

Perkara itu disahkan menerusi kenyataan pasukan UAE Team Emirates semalam, yang memaklumkan jaguh berusia 26 tahun itu bakal berehat panjang selepas mengharungi perlumbaan yang cukup mencabar.

“Baru sahaja meraih kemenangan keempat yang mengagumkan di Tour de France, Pogacar akan mengambil masa untuk berehat,” kata pasukan itu ketika mengumumkan barisan lapan pelumbanya untuk menghadapi Vuelta bulan depan.

Pogacar mencipta sejarah tersendiri apabila menambah koleksi kejuaraan Tour de France yang pernah dimenanginya pada edisi 2020, 2021 dan 2024.

Menurut Pogacar, walaupun Vuelta kekal sebagai antara perlumbaan yang cukup dekat di hatinya, beliau memilih untuk mendengar isyarat tubuh badan yang memerlukan masa untuk pulih.

“Selepas Tour yang sangat mencabar, kami putuskan untuk berehat. Vuelta sememangnya perlumbaan yang saya ingin kembali sertai. Saya masih menyimpan kenangan indah sewaktu menyertainya pada 2019, tetapi tubuh saya perlukan rehat ketika ini,” katanya.

Sebagai rekod, Vuelta merupakan satu-satunya saingan Grand Tour yang belum dimenangi Pogacar. Penampilan tunggalnya pada edisi 2019 menyaksikan beliau menamatkan saingan di tempat ketiga.

Pogacar yang turut menjuarai Giro d’Italia dalam penyertaan sulungnya tahun lalu, dijangka kembali berlumba di Kanada pada pertengahan September menerusi perlumbaan klasik sehari di Quebec dan Montreal.

Vuelta a Espana 2025 bakal membuka tirai pada 23 Ogos ini di Turin, Itali sebelum berakhir di Madrid pada 14 September. – AGENSI