KUALA TERENGGANU: Kelab Kelantan Red Warrior (KRW) menanti keputusan rasmi daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung isu persamaan identiti dengan Kelantan FC.
Presiden KRW, Nik Hafiz Naim Nik Hassan berkata, pihaknya telah menghantar maklum balas penuh kepada FIFA pada 26 Julai lalu, iaitu dua hari sebelum tarikh akhir yang ditetapkan badan induk bola sepak dunia itu.
“Kami sudah jawab dan menafikan sepenuhnya sebarang kaitan dengan Kelantan FC. Sekarang kami hanya tunggu keputusan daripada FIFA. Saya dulu cuma pelabur kecil dalam Kelantan FC dan kini saya bersama beberapa individu lain membina KRW dari bawah,” katanya ketika ditemui selepas aksi persahabatan menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, semalam.
Nik Hafiz berlata, tiga perkara utama diketengahkan dalam surat maklum balas kepada FIFA bagi memperjelas kedudukan sebenar KRW iaitu pertama, warna merah dan putih memang identiti rasmi negeri Kelantan sama seperti warna bendera.
“Kedua, logo KRW direka berbeza dan langsung tidak menyerupai logo Kelantan FC. Akhir sekali, kami gunakan stadium yang sama kerana hanya ada satu stadium utama di negeri ini,” tambahnya.
Beliau berharap isu berkenaan dapat diselesaikan segera supaya KRW dapat terus memberi tumpuan kepada pembinaan pasukan dan pembangunan bola sepak negeri.
Sementara itu, ketua jurulatih KRW, Irfan Bakti Abu Salim turut berharap kemelut tersebut tidak berlarutan agar fokus pasukan tidak terganggu.
“Saya harap perkara ini dapat selesai secepatnya kerana kami memang tiada kaitan dengan Kelantan FC sebelum ini.
“Saya dan pemain sudah bersedia untuk beraksi dan besar harapan kami musim ini untuk menjadi antara pasukan teratas liga,” katanya.
Terdahulu, perlawanan persahabatan menyaksikan KRW tewas 0-6 kepada tuan rumah Terengganu FC hasil jaringan Yan Mabella, Careca, Gabriel Silva dan Syahmi Zamri.-UTUSAN