FAM harap isu pengadil ‘sifar’ Liga M musim baharu

Sukan

SHAH ALAM: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meletakkan harapan besar agar isu kontroversi melibatkan mutu pengadilan tidak lagi membelenggu kempen Liga Malaysia (Liga M) musim 2025/2026.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S. Sivasundaram menzahirkan harapan agar saingan Liga Malaysia musim ini tidak lagi dibayangi isu membabitkan mutu pengadilan selepas tahun lalu peratusan ketepatan keputusan pengadil di padang menunjukkan kadar 98 peratus.

Justeru, beliau berharap pada saingan ini mampu untuk mencapai angka sifar tanpa kotroversi namun tiada jaminan untuk mencapai sasaran berkenaan berikutan pengadil juga adalah manusia.

Menurut beliau, pelbagai usaha penambahbaikan telah dan sedang dijalankan oleh jawatankuasa berkenaan termasuk memperkemas sistem pemilihan, pemantauan prestasi dan latihan berterusan kepada para pengadil.

“Saya cakap 98 tetapi media yang cakap cemerlang sebelum ini. Tentu sekali saya suka ‘zero issue’ untuk tahun ini tapi ia bukan sasaran tetapi harapan kami.

“Kalau boleh nak ‘zero issue’ tetapi pengadil juga manusia. Semua orang ada masalah keluarga atau sebagainya. Mungkin mereka ada bawa ke padang bola sepak tetapi kita harap yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pembaharuan perjanjian penajaan antara FAM dan Kronos Malaysia bagi tempoh 2025 hingga 2027 sebagai penaja rasmi pakaian pengadil kebangsaan.

Musim lalu menyaksikan hanya lima aduan rasmi diterima oleh FAM berkenaan mutu pengadilan, berikutan itu pihaknya sentiasa mengambil segala teguran dan kritikan bagi meningkatkan prestasi setiap pengadil.

Tambahnya, Video Bantuan Pengadil (VAR) juga banyak membantu pengadil dalam membuat keputusan yang lebih tepat sekali gus Meminimalkan kesalahan.

“Berdasarkan laporan Unit Pengadil FAM, prestasi pengadil Liga M musim 2024-2025 berada pada tahap cemerlang berbanding musim 2023-2024.

“Pada musim lalu, sebanyak 208 perlawanan menggunakan teknologi ‘Video Bantuan Pengadil’ (VAR). Daripada jumlah itu, FAM hanya menerima lima aduan rasmi daripada pasukan bertanding iaitu empat aduan perlawanan Liga Super dan satu aduan aksi Piala Malaysia.

“Daripada 208 perlawanan, Pengadil VAR membuat sebanyak 1,255 semakan (tidak termasuk ‘Silent Check’). Daripada 1,255 semakan VAR, sebanyak 101 semakan melibatkan ‘On Field Rieview’ (OFR),” katanya.-UTUSAN