Tunku Ismail tempelak CEO Selangor: jangan bodohkan penyokong setia

Sukan

PETALING JAYA: Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT),Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim hairan dengan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon yang mendakwa jurang prestasi antara kedua-dua kelab semakin mengecil.

Tunku Ismail menerusi hantaran di laman sosial X bagaimanapun mempertikaikan kenyataan Johan yang disifatkan tidak berasas jika merujuk kepada statistik pertemuan antara kedua-dua pasukan.

“CEO Selangor FC, Johan (Kamal) cakap jurang antara JDT dan Selangor semakin mengecil?,” soal Tunku Ismail ringkas.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail turut memuat naik perbandingan statistik yang menunjukkan jurang mata antara JDT dan Selangor sebenarnya semakin melebar dalam dua musim terakhir Liga Super, berbeza dengan dakwaan pihak Selangor.

Statistik dikongsi oleh Tunku Ismail dalam laman sosial X.

Antara statistik yang dikongsikan termasuk pertemuan tiga musim terakhir antara kedua-dua pasukan yang menyaksikan JDT menang tujuh kali ke atas Selangor, termasuk kemenangan besar 6-1 dalam perlawanan akhir Piala FA.

“Jadi, sila terangkan kepada saya, Johan (Kamal), bagaimana Selangor merapatkan jurang?” tambah Tunku Ismail.

Baginda turut menempelak kenyataan tersebut dengan menyifatkan ia sebagai cubaan menutup kegagalan pengurusan sendiri dan memberi amaran supaya tidak memperbodohkan penyokong setia Gergasi Merah.

“Kalau nak tutup kegagalan sendiri pun, janganlah sampai cuba bodohkan penyokong sendiri. Penyokong Selangor layak dapat yang lebih baik,” tegas Baginda.

Terdahulu, Johan dalam satu temu bual bersama media tempatan berkata Selangor FC kini berada di landasan positif dan melihat persaingan Liga Malaysia sebagai lebih terbuka, sambil mendakwa jurang dengan JDT semakin rapat berdasarkan prestasi dua musim terakhir.

Kenyataan itu bagaimanapun jelas tidak selari dengan fakta semasa apabila dominasi JDT dalam saingan domestik kekal utuh dengan rekod 11 kejuaraan Liga Super berturut-turut.-UTUSAN