KOSMA agih RM56.508 juta kepada ahli

Perniagaan

KUANTAN: Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) terus menunjukkan prestasi cemerlang apabila mengumumkan agihan dividen saham 55 peratus membabitkan bayaran berjumlah RM32.538 juta kepada 1,495 ahlinya bagi tahun kewangan berakhir 2024.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pada 19 Mac lalu, beliau mengumumkan pembayaran dividen unit ladang sebanyak RM5,000 setiap unit untuk diagihkan kepada semua ahlinya, berjumlah RM23.97 juta.

Menurutnya, terima kasih kepada KOSMA kerana sekali lagi memberikan penghormatan kepadanya mengumumkan keuntungan dividen sahamnya yang berakhir pada 2024.

“Bagi tahun kewangan 2024, pendapatan keseluruhan KOSMA yang telah diaudit mencatatkan jumlah RM290.79 juta, manakala keuntungan bersih direkodkan RM132.77 juta.

“Berdasarkan prestasi kewangan yang kukuh ini, Mesyuarat Agong KOSMA ke-40 telah membuat permohonan kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan berjaya mendapat kelulusan pembayaran dividen sebanyak 55 peratus.

“Nilai Dividen dibayar, RM32.538 juta, nilai unit ladang yang telah dibayar RM23.97 juta kepada 1,495 ahli. Ia menjadikan jumlah keseluruhan pembayaran dividen unit ladang dan saham RM56.508 juta,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman dividen saham KOSMA bagi tahun 2024 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata, dividen yang dibayar bermula hari ini itu hasil pengurusan koperasi yang cekap, efisien dan pulangan pelaburan mampan.

“KOSMA percaya bahawa pengagihan dividen ini akan terus memperkukuhkan kesejahteraan ahli-ahli, kakitangan, warga koperasi dan seluruh rakyat Malaysia. Kejayaan KOSMA ini tidak datang begitu sahaja, tetapi datang dengan usaha gigih dan konsisten setiap jenteranya,” katanya.

Beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada Pengerusi KOSMA, Datuk Zamri Mohamed serta Ahli Lembaga Pengarahnya kerana berjaya membawa koperasi itu sehingga ke tahap ini.

“KOSMA terus memainkan peranan penting dalam menjana pendapatannya yang memberikan impak besar kepada sektor koperasi negeri Pahang dan juga negara,” katanya. – UTUSAN