PETALING JAYA: Beregu campuran No. 1 negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei membuktikan status selaku pilihan utama apabila mara ke suku akhir Terbuka Macau, hari ini.
Pasangan negara itu menundukkan wakil China, Li Hong Yi-Huang Ke Xin 21-18, 21-13 dalam tempoh 37 minit di Dewan Sukan Asia Timur, Macau.
Mereka akan berdepan cabaran pilihan kelapan dari Indonesia, Adnan Maulana-Indah Cahya Sari Jamil dalam misi ke separuh akhir esok.
Turut mencuri tumpuan, pasangan profesional negara, Jimmy Wong-Lai Pei Jing yang bangkit mengejutkan pasangan India, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto 19-21, 21-13, 21-18 dalam masa 55 minit.
Namun, ujian lebih getir menanti mereka apabila dijadualkan menentang pilihan kedua dari China, Cheng Xing-Zhang Chi dalam saingan esok.
Nasib berbeza dialami dua beregu campuran lain, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin dan Loo Bing Kun-Go Pei Kee apabila terkandas awal.
Pang Ron-Su Yin gagal memberi saingan apabila tewas straight set 16-21, 16-21 kepada gandingan Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje.
Bing Kun-Pei Kee pula gagal menyerlah dalam penampilan sulung selepas tunduk kepada pasangan Indonesia, Amri Syahnawi-Nita Violina Marwah 9-21, 22-20, 11-21.
Satu-satunya wakil perseorangan lelaki, Justin Hoh terus melakar kejutan apabila menyingkirkan pilihan kelapan dari India, Ayush Shetty 21-18, 21-16 dalam masa 48 minit.
Justin akan berdepan ujian sebenar dalam usaha melangkah lebih jauh apabila berdepan pemain Thailand, Kantaphon Wangcharoen esok. – UTUSAN