RCB taja program wild card Moto3 Hakim Danish?

Sukan

PUTRAJAYA: Walaupun masih di peringkat rundingan, namun, sekurang-kurangnya ada khabar gembira buat peminat sukan bermotor tempatan yang amat berharap dapat melihat kelibat pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli pada Grand Prix Motosikal Malaysia, Oktober depan.

Jenama terkenal komponen motosikal, RCB telah menyatakan kesediaan kemungkinan untuk menjadi penaja bagi memastikan Hakim Danish dapat melakukan kemunculan sulung pada Kejohanan Motosikal Dunia di atas tiket jemputan atau wild card.

Pengurus Besar RCB, Marcus Leong berkata, beliau sendiri telah berbincang bersama pengurus pasukan SIC, Zulfahmi Khairuddin hari ini, tentang merealisasikan hasrat tersebut.

“Pasal tiket wild card ini, memang saya ada bincang dengan Zulfahmi, saya tak boleh bagi jaminan sekarang, tetapi, kami memang sedang melihat ke arah itu.

“Kalau boleh kita mahu berikan kerjasama penuh dengan mereka (SIC Racing), tetapi, sudah tentu saya masih perlu fikirkan bagaimana untuk menguruskan bajet itu.

“Sejauh mana kita akan pergi dengan rundingan ini, saya masih tak dapat putuskan lagi, tetapi, apa yang pasti kita akan menyumbang dan ia akan diputuskan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita pada sesi media bersama pelumba muda Malaysia, Hakim Danish Ramli dan Qabil Irfan Azlan anjuran RCB di sini, hari ini.

Kata Marcus, menjadi tanggungjawab RCB menyokong program pembangunan bakat muda Malaysia dan Hakim Danish merupakan pelumba yang perlu diketengahkan bakatnya.

“Hasrat ini disuarakan juga bukan disebabkan pencapaian cemerlang Hakim Danish di Eropah semata-mata, tetapi, memang sejak awal kita telah mulakan program RCB MiniMoto bersama Zulfahmi dan perancangan ini merupakan satu program jangka panjang,” katanya yang turut mengakui tidak banyak syarikat korporat sanggup menaja bakat muda seperti dilakukan RCB.

Sementara itu, Zulfahmi ketika ditemui pada majlis sama turut mengesahkan tentang perbincangan penajaan bagi membawa Hakim Danish beraksi dalam Moto3 di atas kapasiti wild card.

Namun, walau apa juga bentuk rundingan yang berjalan, kata bekas pelumba Moto2 dan Moto3 Malaysia itu, keputusan penuh tetap bergantung kepada Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang akan memberi jawapan akhir.

“Saya dah uruskan semua, termasuk berbincang dengan pihak SIC, minggu lepas dan sebenarnya mereka sememangnya menuju ke arah itu untuk menjayakan program wild card ini, malah mereka bersedia untuk bertanggungjawab soal perbelanjaan, cuma belum ada kata putus yang muktamad daripada Lembaga Pengarah,” katanya.

Zulfahmi turut mengakui, selain RCB, ada beberapa penaja lain yang menyatakan kesediaan mereka untuk terlibat dalam program wild card itu dan jika ia menjadi kenyataan Hakim Danish akan belumba bersama MT Helmet-MSI.

“Mengenai bila keputusan akan dimuktamadkan, saya rasa minimum 45 hari sebelum GP Malaysia kerana ia merupakan syarat yang diletakkan oleh Dorna dan kita juga boleh buat lebih awal jika kelonggaran diberi bagi mempromosi GP Malaysia untuk menarik peminat ke Sepang,” katanya.-UTUSAN