PETALING JAYA: Glostrext Berhad pertumbuhan mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak 27.5 peratus kepada RM3.61 juta pada suku pertama berakhir 30 Jun 2025, berbanding RM2.83 juta pada suku sama tahun kewangan 2025, disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam perniagaan teras.
Pendapatan sesaham (EPS) meningkat kepada 71 sen daripada 57 sen.
Selain itu, syarikat turut mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 62.5 peratus kepada RM14.38 juta pada suku tinjuan daripada RM8.85 juta sebelumnya.
Segmen perkhidmatan instrumentasi cerucuk dan ujian beban statik kekal sebagai penyumbang utama, merangkumi RM9.59 juta atau 66.7 peratus daripada jumlah hasil suku tersebut.
Segmen instrumentasi dan pemantauan struktur serta tanah menyumbang RM1.72 juta (12 peratus), manakala perniagaan baharu melibatkan sistem UPS dan aksesori penjana (alternator) masing-masing menyumbang RM680,000 (4.8 peratus) dan RM2.20 juta (15.3 peratus).
Dari segi geografi, pasaran Singapura kekal sebagai penyumbang utama dengan RM9.03 juta (62.8 peratus), diikuti Malaysia sebanyak RM5.34 juta (37.2 peratus), menunjukkan peningkatan aktiviti domestik serta usaha pemelbagaian pasaran.
Seiring prestasi memberangsangkan itu, Glostrext mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 0.5 sen sesaham atau RM2.09 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 yang akan dibayar pada 28 Ogos 2025.
Sepanjang suku tersebut, kedudukan tunai dan bank syarikat meningkat kepada RM16.35 juta daripada RM11.32 juta, manakala jumlah pinjaman berkurangan kepada RM6.34 juta berbanding RM8.86 juta sebelum ini.
Pengarah ganti kepada Pengarah Urusan, Lee Ming Jean berkata, prestasi positif itu didorong oleh momentum kukuh perkhidmatan teras serta sumbangan awal segmen baharu.
“Pelaburan dalam automasi dan inovasi mula menunjukkan hasil. Kami telah memulakan pelaksanaan sistem WINA-aMLT dalam projek utama di Singapura sebagai sebahagian pelan transformasi digital,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut memaklumkan Kumpulan Powertecs yang baharu diambil alih menyumbang 20.1 peratus daripada jumlah hasil suku tersebut dan dijangka menjana nilai jangka panjang meskipun belum menyumbang kepada keuntungan bersih ketika ini.
“Dengan terus mengutamakan automasi, inovasi dan pemelbagaian, kami komited untuk memacu pertumbuhan mampan dan memberikan nilai jangka panjang kepada para pemegang saham,” ujarnya. – UTUSAN