FBM KLCI meningkat 1.6 peratus pada Jun

Perniagaan

PETALING JAYA: Pasaran saham meneruskan prestasi positif pada bulan Jun 2025 dengan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencatatkan kenaikan sebanyak 1.6 peratus, selari dengan arah aliran pasaran ekuiti serantau. 

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, ini berlaku dalam persekitaran ekonomi yang menunjukkan tanda-tanda kestabilan, termasuk penurunan inflasi keseluruhan kepada 1.1 peratus dan pertumbuhan kukuh dalam sektor perdagangan borong dan runcit.

Katanya, hasil Sekuriti kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun menurun sebanyak 5.0 mata asas (purata serantau5: 1.5 mata asas).

“Pada masa sama, sistem kewangan domestik kekal kukuh dengan kecairan perbankan yang menyokong pengantaraan kredit dan kualiti aset perbankan yang stabil, di samping pertumbuhan mampan dalam pinjaman sektor swasta,” katanya dalam kenyataan. 

BNM mengulas, prestasi ringgit yang mengukuh 0.5 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) disokong oleh  kelembapan dolar AS secara menyeluruh yang berterusan.

“Pasaran kewangan global kekal sebahagian besarnya dipengaruhi oleh ketidakpastian yang berterusan berkaitan dasar tarif AS khususnya menjelang tamat tempoh perdamaian sementara perdagangan selama 90 hari pada bulan Julai. 

“Ketegangan geopolitik yang meningkat turut menambah kepada ketidakpastian pasaran kewangan global berikutan kebimbangan terhadap gangguan bekalan minyak,” katanya. 

Sementara itu, inflasi keseluruhan terus mereda kepada 1.1 peratus berbanding Mei 2025, 1.2 peratus, manakala inflasi teras kekal tidak berubah pada 1.8 peratus. 

“Penurunan inflasi keseluruhan sebahagian besarnya didorong oleh inflasi yang lebih rendah dalam komponen bukan teras, terutamanya makanan segar, diesel dan pengangkutan penumpang udara.

“Peningkatan inflasi bagi beberapa barangan teras terpilih, seperti makanan di luar rumah dan perkhidmatan penstriman, sebahagian besarnya diimbangi oleh inflasi yang lebih rendah bagi perkhidmatan komunikasi mudah alih dan konsol permainan video,” katanya. 

Selain itu, kredit kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat sebanyak 5.2 peratus (Mei 2025: 5.4 peratus) didorong oleh pertumbuhan yang stabil dalam pinjaman terkumpul (5.5 peratus Mei 2025: 5.5 peratus) manakala pertumbuhan bon korporat terkumpul menurun (4.3 peratus, Mei 2025: 4.7 peratus). 

“Pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul secara amnya stabil pada 4.5 peratus (Mei 2025: 4.7 peratus) berikutan pertumbuhan pinjaman yang berterusan bagi tujuan berkaitan pelaburan, khususnya dalam kalangan PKS.

“Selain itu, pertumbuhan pinjaman isi rumah kekal stabil pada enam peratus (Mei 2025: enam peratus) berikutan pertumbuhan berterusan merentas kebanyakan tujuan pinjaman,” katanya. 

Dalam pada itu, sistem perbankan terus mencatatkan penampan mudah tunai yang kukuh dengan agregat Nisbah Perlindungan Mudah Tunai sebanyak 160.6 peratus (Mei 2025: 150.4 peratus).

“Agregat nisbah pinjaman kepada dana secara amnya kekal stabil pada 83.3 peratus (Mei 2025: 83.6 peratus).

“Nisbah pinjaman terjejas kasar menurun sedikit kepada 1.4 peratus (Mei 2025: 1.5 peratus) namun nisbah pinjaman terjejas bersih kekal stabil pada 0.9 peratus. 

“Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) terus berada pada tahap berhemat sebanyak 130.3 peratus  daripada pinjaman terjejas kasar (Mei 2025: 129 peratus),” katanya. – UTUSAN