P.Pinang sokong aspirasi RMK-13, mahu projek dilaksana ikut perancangan

Perniagaan

GEORGE TOWN : Pulau Pinang menyokong penuh aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) 2026-2030 yang bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan’ seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, untuk itu, kerajaan negeri akan terus menggembleng sumber dan penyertaan rakyat bagi membantu mempercepatkan peralihan negara kepada status ekonomi bernilai tinggi.

Pada masa yang sama katanya, pengaruh serta imej positif negara di persada dunia juga akan terus ditingkatkan selain akan berusaha memastikan kehidupan rakyat lebih sejahtera dan alam sekitar yang lestari sebagaimana yang diaspirasikan sebelum ini.

“Sebagai ‘Lembah Silikon Timur’ pula, pastinya Pulau Pinang berterima kasih terhadap fokus projek-projek tersenarai yang bakal memberi pulangan pelaburan bernilai tinggi kepada negeri ini khasnya dan Malaysia amnya.

“Ini membuktikan bahawa Pulau Pinang masih memainkan peranan yang signifikan terhadap pelaburan negara dan bakal merealisasikan visi negara untuk terus menjadi peneraju industri semikonduktor bernilai tinggi,” katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, projek-projek pembangunan infrastruktur seperti projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara dan Lebuhraya PLUS (Laluan Juru-Sungai Dua) juga akan menambah baik prasarana selain membantu memperluas kesalinghubungan sedia ada.

“Begitu juga dengan projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang akan menambah baik pengalaman pengguna di sana.

“Dalam hal ini, kerajaan negeri berharap agar projek ia dapat dilaksanakan mengikut tempoh masa yang dirancang demi memastikan keterhubungan antara wilayah dapat diperkukuh,” katanya yang turut mengalu-alukan pengumuman penaiktarafan Klinik Desa Padang Menora di Seberang Perai Utara (SPU) dalam RMK berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata, pelaksanaan program penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di kawasan pembangunan pertanian bersepadu juga bakal memberi kelebihan kepada negeri ini untuk kekal sebagai pengeluar purata hasil padi tertinggi dalam negara sekali gus mengekalkan rantaian keterjaminan makanan sedia ada.

“Umumnya, kerajaan negeri berharap agar pengumuman ini (RMK-13) akan disusuli dengan perincian lanjut termasuk hala tuju serta strategi yang perlu diteliti.

“Pendekatan susulan akan dikemukakan kepada kementerian berkaitan bagi membolehkan kita sama-sama merealisasikan komitmen yang diumumkan demi mandat rakyat di negeri serta negara ini,” ujar beliau.-UTUSAN