PETALING JAYA: S P Setia Bhd (Setia) memperluaskan jejak antarabangsa dengan majlis pecah tanah untuk pembangunan terbaharunya iaitu Setia Garden Residences di EcoXuan di Ho Chi Minh City, Vietnam pada 26 Julai lalu.
Pembangunan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak AS$81 juta (RM344 juta) ini terletak di perbandaran EcoXuan, di Wilayah Bình Dưong.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Setia, Datuk Choong Kai Wai berkata, Setia komited untuk menjadi peneraju dalam membina komuniti yang mampan dan memperkayakan gaya hidup, bukan sahaja di Malaysia tetapi di peringkat global, terutamanya dalam mengukuhkan kedudukannya di Vietnam.
“Kemajuan Setia di Setia Garden Residences di EcoXuan mencerminkan komitmen kami dalam pembangunan strategik, berikutan penggabungan pentadbiran Binh Duong ke Ho Chi Minh City,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut hadir pada majlis pecah tanah tersebut dan turut disaksikan oleh Konsul Jeneral Malaysia, Firdauz Othman; Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Zaimah Osman dan Pemimpin Wad Lai Thieu, Trương Công Thạch.
Sementara itu, Ketua Pengarah Setia Vietnam, Sherman Kam berkata, kumpulan komited untuk membangunkan ruang kediaman berkualiti tinggi dan mesra alam yang menawarkan nilai yang akan meningkat di masa hadapan.
Katanya, Setia Gardens Residences yang disasarkan untuk siap pada 2027 telah direka bentuk untuk menjadi mercu tanda baharu di koridor Utara Ho Chi Minh City.
Setia Gardens Residences terletak di Binh Duong Boulevard yang merupakan jalan arteri utama yang menghubungkan Ho Chi Minh City dengan wilayah-wilayah berdekatan.
Lokasinya di sepanjang Lebuhraya Nasional 13 akan menjaminkan penyambungan lancar ke daerah pusat perniagaan berdekatan.
Penduduk akan menikmati kemudahan gaya hidup dan pusat kesihatan berhampiran seperti AEON Mall, Lotte Mart, Padang Golf Song Be dan Hospital Antarabangsa Becamex, yang terletak dalam radius 10 minit dengan pemanduan kenderaan.
Pembangunan ini merangkumi tiga menara dengan 27 hingga 28 tingkat dan akan menawarkan 865 pangsapuri dan rumah kedai mewah. – UTUSAN