Rakyat masih pilih jalan raya, bukan rel

Perniagaan

PETALING JAYA: Usaha kerajaan dalam menaik taraf sistem pengangkutan awam menerusi projek seperti Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan sistem rel lain dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) merupakan langkah progresif ke arah membina infrastruktur negara yang lebih mampan dan moden. 

Inisiatif ini bukan sahaja mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh jaringan pengangkutan, malah turut berpotensi mengurangkan kesesakan lalu lintas serta pencemaran alam sekitar. 

Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, namun begitu, meskipun pelbagai projek mega telah dilaksanakan, impaknya terhadap kehidupan harian majoriti rakyat masih belum dirasai secara menyeluruh.

Katanya, hal ini kerana budaya penggunaan kenderaan peribadi masih sangat kuat dalam kalangan masyarakat Malaysia.

“Data jualan kenderaan yang meningkat saban tahun jelas membuktikan bahawa rakyat Malaysia masih sangat bergantung kepada kenderaan sendiri untuk urusan harian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Justeru, jelas beliau, keutamaan perlu diberikan semula kepada pembinaan dan penaiktarafan jalan raya serta lebuh raya sedia ada.

“Dalam hal ini, pembinaan lebuh raya baharu ke Pantai Timur turut disebut sebagai langkah kritikal yang perlu dipercepatkan, meskipun projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sedang giat dijalankan. 

“Jalan raya utama masih relevan dan diperlukan secara menyeluruh untuk mengimbangi keperluan logistik dan keselesaan pengguna,” katanya. 

Beliau juga mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan cadangan membina satu lagi rangkaian lebuh raya utama yang paralel dengan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS)yang disebut sebagai ‘PLUS 2’, bagi menangani kesesakan yang semakin memburuk, khususnya semasa musim perayaan dan cuti sekolah.

“Naik taraf infrastruktur bukan semata-mata soal pembangunan ekonomi, tetapi soal kualiti hidup rakyat. 

“Jalan raya yang baik mempercepat pergerakan, menjimatkan kos dan secara tidak langsung meningkatkan produktiviti,” tambahnya.

RMK13 secara keseluruhannya dilihat sebagai memenuhi keperluan rakyat, namun beliau menegaskan semula bahawa sektor pengangkutan darat, khususnya jaringan jalan raya yang efisien, harus diberi keutamaan lebih dalam pelaksanaan peringkat seterusnya.

Sementara itu, Profesor Kewangan Dan Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Datuk Prof Dr. Nik Maheran Nik Muhammad berkata, pelaksanaan projek seperti ECRL, Landasan Berkembar Gemas–Johor Bahru, LRT Laluan Mutiara dan inisiatif pembangunan berorientasikan transit (TOD) dijangka akan memperkukuh keterhubungan wilayah serta merangsang pembangunan seimbang antara pantai timur, selatan dan utara Semenanjung.

“Dengan tambahan bas, van DRT dan set tren baharu pula,  rakyat akan menikmati mobiliti lebih baik, kos perjalanan lebih rendah dan akses lebih mudah kepada peluang pekerjaan dan perkhidmatan bandar.

“Secara strategik, langkah ini mampu menarik pelaburan, memperkasa ekonomi tempatan dan mengurangkan jurang pembangunan wilayah, selaras dengan aspirasi RMK13 ke arah pertumbuhan inklusif dan lestari,” katanya. 

Bagi Pakar Ekonomi, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, RMK13 memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh infrastruktur negara sebagai tulang belakang kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. 

“Pembangunan serta naik taraf jalan dan lebuh raya, khususnya di kawasan luar bandar seperti Sabah dan Sarawak, akan membuka lebih banyak peluang ekonomi dan merapatkan jurang pembangunan antara wilayah. 

“Projek strategik seperti Lebuhraya Pan Borneo dan sambungan rangkaian lebuh raya utama dijangka melonjakkan mobiliti, pelaburan serta aktiviti logistik. Dalam masa yang sama, fokus kepada infrastruktur mesra rakyat dan selamat membuktikan bahawa aspek kualiti hidup dan kebolehcapaiannya turut diberi perhatian,” katanya. 

Dalam pembentangan RMK13, pembangunan infrastruktur berskala besar juga kekal sebagai keutamaan demi memperkukuh keterhubungan antara wilayah serta merangsang pertumbuhan kawasan sekitar secara terancang.

Antara projek yang dilaksanakan pembinaan ECRL yang menghubungkan Kelantan, Terengganu, Pahang dengan pantai barat Semenanjung Malaysia, Landazan Berkembar Gemas-Johor Bahru dan E-ART Wilayah Iskandar, Johor dan Projek LRT Laluan Mutiara, Pulau Pinang. 

Inisiatif ini turut mempercepat TOD yang menyatukan elemen pengangkutan dengan perumahan, komersial dan perkhidmatan kaunter awam. – UTUSAN