PETALING JAYA: Kejohanan Dunia Akuatik 2025 yang sedang berlangsung di Singapura ketika ini mencerminkan realiti yang mengejutkan bahawa Malaysia bukan lagi kuasa besar sukan terjun di Asia Tenggara.
Perkara itu perlu diakui apabila juara Sukan SEA Kemboja 2023, Lee Yiat Qing, sekadar menamatkan saingan peringkat kelayakan 10 meter (m) platform individu wanita di tempat ke-29, 16 anak tangga di belakang penerjun muda tuan rumah, Ainslee Kwang, yang layak ke separuh akhir.
Itu merupakan penampilan sulung atlet berusia 14 tahun itu di pentas dunia, sekali gus mengukir sejarah sebagai penerjun pertama Singapura layak ke separuh akhir Kejohanan Dunia Akuatik, satu pencapaian yang menandakan kebangkitan kuasa baru dalam sukan ini di rantau Asia Tenggara.
Lebih memalukan, catatan mata Yiat Qing iaitu 240.20 mata, jauh lebih rendah berbanding 285 mata yang diraih Ainslee menjadi isyarat jelas bahawa jurang antara Malaysia dan negara serantau bukan sahaja semakin mengecil, malah telah pun terbalik.
Pengarah Teknikal Terjun Kebangsaan, Yeoh Ken Nee, tampil memberi penjelasan bahawa prestasi penerjun berusia 17 tahun itu berada di bawah jangkaan sebenar dalam acara yang berlangsung, kelmarin.
“Terjunan beliau ada mencatatkan markah yang baik dan juga kurang baik. Prestasinya kelihatan bercampur baur. Ini pentas dunia pertamanya. Yiat Qing perlukan lebih banyak pendedahan untuk sampai ke tahap ini,” kata Ken Nee kepada Utusan Malaysia.
Namun begitu, angka dan fakta tidak pernah berdusta, Singapura kini bukan lagi pasukan belasahan yang mana negara itu memiliki sejarah layak ke Olimpik kali pertama menerusi Jonathan Chan dan Freida Lim ke Tokyo 2020, dan kini menuai hasil pelaburan pembangunan apabila menewaskan Malaysia secara langsung di kejohanan dunia.
Apa yang lebih mengguris, antara pencetus kebangkitan Singapura ialah bekas ratu papan anjal negara, Wendy Ng, yang melepaskan jawatannya sebagai jurulatih pembangunan bakat Wilayah Persekutuan untuk menyertai Akuatik Singapura pada Januari lalu.
Dalam masa yang sama, bekas pengarah teknikal terjun Malaysia, Bryan Nickson Lomas, turut membuktikan sentuhannya apabila penerjun Korea Selatan di bawah bimbingannya, Moon Nayun, menamatkan saingan di tempat ke-14 dengan kutipan 280 mata, turut meninggalkan Yiat Qing jauh di belakang.
Kehilangan dua figura penting pembangunan sukan terjun negara ini bukan sekadar isu dalaman, tetapi kini menjadi liabiliti besar yang menyumbang kepada kemerosotan prestasi Malaysia, sedangkan negara pesaing sedang menikmati manfaatnya.
Lebih menyedihkan, sandaran terhadap Datuk Pandelela Rinong, ikon sukan terjun negara yang pernah mengharumkan nama Malaysia di pentas Olimpik dan dunia, semakin kabur apabila beliau terpaksa menarik diri daripada kedua-dua acara 10m individu dan seirama bersama Yiat Qing akibat kecederaan bahu kiri yang berpanjangan.
Malaysia kini terlalu bergantung kepada legenda yang sudah berulang kali berdepan kecederaan, sedang pelapis sedia ada belum benar-benar diyakini mampu menggalas cabaran.
Sekiranya Malaysia masih berhajat mempertahankan status sebagai kuasa besar sukan terjun rantau ini, pembaharuan menyeluruh perlu dilaksanakan segera, bukan sekadar dari aspek struktur latihan dan pengambilan jurulatih, tetapi juga menerusi komitmen jitu terhadap pembangunan pelapis secara serius tanpa terus bergantung pada nostalgia nama-nama lama.-UTUSAN