KANGAR: Saingan Liga A1 Semi Pro musim 2025/2026 yang bakal membuka tirai esok dijangka lebih menjadi tumpuan dan tarikan penyokong bola sepak di negara ini berbanding Liga Super.
Saingan Liga A1 yang membabitkan 16 pasukan juga dilihat lebih terbuka dan kompetitif berbanding Liga Super yang sudah diketahui umum didominasi oleh JDT sejak lebih sedekad lalu.
Aura Liga A1 juga cukup luar biasa apabila para penyokong dilihat sudah tidak sabar untuk kembali memenuhi stadium bagi menyokong pasukan negeri masing-masing seperti kegemilangan era 90-an.
Malah, aksi ‘derby’ antara Perlis dan Kedah FA yang akan membuka tirai saingan di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar esok juga mula menjadi perbualan hangat penyokong bola sepak di negeri ini yang sudah tidak sabar kembali memenuhi gelanggang keramat Singa Utara itu.
Tarikan Liga A1 kali ini juga cukup terserlah apabila perlawanan akan bersiaran langsung di televisyen berbanding sebelum ini hanya disiarkan menerusi saluran Youtube Amateur Football League (AFL), Facebook dan Mytv.
Liga Super pula dijangka suram selepas nama-nama besar dalam bola sepak negara dengan kekuatan penyokong seperti Pahang, Kedah, Perak, Kelantan dan Sarawak sudah tiada.
Presiden Perlis GSA FC, Izizam Ibrahim berkata, saingan Liga A1 ini agak terbuka dan kompetitif dengan penyertaaan pasukan-pasukan seperti Kedah, Kelantan, Perak, Selangor II dan JDT II.
Katanya, penyokong juga agak teruja selepas lebih 15 tahun Perlis tidak beraksi dalam saingan kompetitif Liga Malaysia, sekaligus ia bakal memeriahkan kembali bola sepak di negeri ini.
Ujarnya, Perlis akan berusaha memberi saingan kepada pasukan-pasukan besar yang bertanding di dalam Liga A1 dengan sasaran untuk berada di kedudukan lima terbaik.
“Kali ini semangat cukup berbeza dan luar biasa dengan ramai sudah tidak sabar untuk menyaksikan saingan Liga A1 ini. Aura saingan Liga A1 kali ini juga dilihat lebih terserlah berbanding saingan Liga Super.
“Malah, penyokong Perlis sendiri sudah tidak sabar menantikan perlawanan nanti dengan perlawanan pertama menentang Kedah ini, kita perlu menang bagi memberi lebih motivasi sebelum aksi seterusnya selepas ini.
“Saya juga berharap penyokong Singa Utara dapat memenuhi stadium bagi memberi sokongan kepada pasukan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui selepas majlis pelancaran rasmi jersi Perlis GSA FC yang turut dihadiri Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli di Terinai, Timah Tasoh di sini, semalam.
Sementara itu, Mohd Shukri berharap pasukan GSA FC yang mewakili Perlis akan berjaya dan membuktikan bahawa anak-anak negeri ini boleh melangkah jauh dalam saingan tersebut.
“Kerajaan negeri akan terus memberikan sokongan setakat mana yang mampu supaya pasukan tersebut dapat melangkah jauh. Penyokong-penyokong Perlis ini yang sekian lama kita tidak masuk stadium dan diharap dengan penyertaaan Perlis GSA FC dalam Liga A1 ini, kita dapat kembali memenuhi stadium,” katanya.-UTUSAN