Pemain Imigresen FC masih dalam proses sesuaikan diri

Sukan

BATU KAWAN : Ketua jurulatih Imigresen FC, Yusri Che Lah mengakui bahawa pasukannya masih dalam proses untuk menyesuaikan diri dengan aksi perlawanan pada sebelah petang.

Yusri berkata, cuaca yang agak agak panas pada sebelah petang di Pulau Pinang ketika ini sedikit sebanyak boleh mengganggu prestasi anak-anak buahnya.

Bekas pengendali Perak itu berkata, walaupun para pemainnya memiliki teknik yang baik untuk bermain bola sepak, namun masalah tetap akan timbul jika tahap kecergasan masih rendah.

“Dengan masa yang masih ada (sebelum bermulanya musim baharu Liga Super), saya harap pemain dapat ‘push’ diri mereka sendiri supaya berada dalam tahap kecergasan yang betul,” kata Yusri.

Imigresen FC akan menggunakan Stadium Batu Kawan di Pulau Pinang sebagai gelanggang tuan rumah mereka musim ini dan hampir semua perlawanan di stadium itu akan berlangsung pada sebelah petang.

Menyentuh mengenai persiapan pasukannya untuk aksi Liga Super musim ini pula, Yusri berkata, beliau agak risau kerana tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk membentuk satu pasukan yang mantap.

Ujar Yusri, ketika ini, Imigresen FC hanya memiliki seorang pemain import sahaja manakala pemain-pemain import yang lain dijangka tiba secara berperingkat.

“Boleh saya katakan pemain (Imigresen FC) yang ada hari ini adalah pemain dari ‘season’ lepas. Cuma, mereka muda. Saya boleh katakan, umur mereka dalam lingkungan 27 tahun.

“Pasukan ini kalau dilihat dengan umur 27 tahun itu bukan pasukan yang dah terlalu matang dalam liga. Tetapi, bagi saya, komitmen yang mereka tunjukkan hari ini tidak hanya terhenti di sini,” kata beliau.

Imigresen FC akan menerima kunjungan KL City FC pada aksi pembukaan Liga Super di Stadium Batu Kawan, 9 Ogos ini.-UTUSAN