PETALING JAYA: Keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk mengurangkan cadangan kadar tarif terhadap eksport Malaysia daripada 25 peratu kepada 19 peratus telah memberikan kelegaan besar kepada industri eksport Malaysia dan pasaran secara keseluruhan.
Ketua Urus Niaga Moomoo Malaysia, Ken Low berkata, berita itu mendorong reaksi pasaran yang positif, dengan
FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat sebanyak 0.59 peratus serta-merta apabila pelabur mengambil kira kesan positif ke atas pengeksport Malaysia, terutamanya dalam sektor semikonduktor, minyak sawit dan produk getah.
“Walaupun pengurangan tarif ini memberi harapan jangka pendek, adalah penting untuk memahami implikasi yang lebih luas terhadap ekonomi Malaysia dan sentimen pasaran pada masa akan datang.
“Kadar tarif 19 peratus itu setara dengan negara jiran seperti Indonesia, Filipina, Thailand dan Kemboja, walaupun tidak setinggi cadangan asal 25 peratus, ia tetap menjadi halangan yang boleh menjejaskan daya saing eksport Malaysia di pasaran global,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun reaksi pasaran terhadap pengurangan tarif tersebut adalah positif, namun masih terdapat risiko asas dalam beberapa bulan akan datang.
“Pelabur menyambut baik beban tarif yang lebih rendah dikenakan kepada Malaysia terutama ke atas industri eksport utama. Namun begitu, walaupun langkah ini mengurangkan tekanan dalam jangka pendek, risiko asas tetap wujud dan perlu diberi perhatian oleh pelabur dalam beberapa bulan akan datang,” katanya.
Katanya, pengeksport, terutamanya dalam industri seperti semikonduktor, minyak sawit dan peralatan perubatan, tarif 19 peratus masih boleh menekan margin keuntungan.
“Syarikat-syarikat mungkin menghadapi kos yang lebih tinggi untuk memasuki pasaran AS, yang boleh menyebabkan kenaikan harga atau pengecilan margin. Selain itu, gangguan rantaian bekalan akibat tarif boleh melambatkan penghantaran dan mengurangkan permintaan keseluruhan,” katanya.
Tambahnya lagi, syarikat yang bergantung tinggi kepada eksport ke AS terutamanya sektor komoditi, perlu menilai semula strategi penetapan harga dan menilai sejauh mana beban tarif boleh diserap kerana mungkin boleh menjejaskan pendapatan mereka sekiranya kekal tinggi.
Dalam masa sama, Ken berkata, pelabur turut perlu memantau pergerakan Ringgit kerana ketidaktentuan perdagangan boleh menyebabkan turun naik mata wang.
Menurut Ken, kenyataan terbaharu Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Jerome Powell yang mengekalkan pendirian tidak menurunkan kadar faedah dalam masa terdekat telah menyebabkan pasaran mengubah jangkaan daripada dua kepada hanya satu pemotongan kadar bagi baki tahun ini.
“Perkara ini memberi tekanan tambahan kepada Ringgit dan boleh menjejaskan keuntungan syarikat tempatan yang menjana hasil dalam mata wang dolar AS. Malah, ia juga boleh meningkatkan kos pinjaman bagi syarikat yang terdedah kepada pembiayaan asing,” katanya.
Katanya, keadaan itu bakal memberi kesan kepada pasaran bon dan ekuiti tempatan yang dijangka berdepan volatiliti dalam tempoh terdekat susulan penyesuaian semula jangkaan kadar faedah global.
Dalam persekitaran ketidaktentuan ini, Ken berkata, pelabur dijangka menumpukan perhatian kepada sektor bertahan (defensive sectors) seperti utiliti, penjagaan kesihatan dan barangan pengguna asas.
“Sektor-sektor ini mempunyai pendedahan yang lebih rendah kepada pasaran luar dan kurang terkesan oleh perubahan dasar perdagangan global.
“Dalam tempoh berisiko tinggi seperti sekarang, sektor bertahan cenderung mencatat prestasi lebih stabil dan dilihat sebagai pilihan pelaburan selamat dalam jangka masa pendek,” katanya.
Mengulas lanjut, Ken berkata walaupun pengurangan tarif kepada 19 peratus memberikan kelegaan, pasaran masih belum mendapat kepastian penuh terhadap hala tuju dasar perdagangan AS.
“Sekiranya terdapat sebarang eskalasi semula dalam rundingan tarif atau tindakan balas daripada rakan dagang lain, ia boleh meningkatkan tekanan kepada pasaran,” katanya.
Justeru, beliau menyarankan pelabur agar kekal berwaspada dan memantau sebarang perkembangan lanjut berkaitan tarif, kadar faedah serta dasar perdagangan antarabangsa.
Katanya, dalam keadaan ketidaktentuan yang tinggi, strategi pelaburan yang bijak melibatkan portfolio pelbagai sektor serta pendekatan perdagangan jangka pendek yang fleksibel merupakan langkah paling berhemah.-UTUSAN