KUALA LUMPUR: Malaysia memansuhkan 1,347 garis tarif bagi produk perindustrian sebagai sebahagian daripada rundingan perdagangan dua hala dengan Amerika Syarikat (AS), menjadikan langkah itu antara komponen utama dalam penawaran akses duti sifar ke atas 6,911 garis tarif import dari negara tersebut.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, penghapusan duti ke atas produk perindustrian itu dibuat berdasarkan permintaan rasmi dari AS.
Katanya, ia meliputi sebahagian besar daripada keseluruhan komitmen tarif sifar Malaysia yang kini merangkumi 61 peratus atau 6,911 daripada 11,260 garis tarif.
“Daripada jumlah tersebut, 1,347 garis tarif melibatkan produk perindustrian, manakala 191 garis tarif melibatkan produk pertanian.
“Kebanyakan produk perindustrian ini sebenarnya sudah pun dikenakan duti sifar sebelum ini, tetapi langkah terbaharu ini mengesahkan dan memperluaskan lagi liputan produk yang diberikan akses pasaran tanpa tarif,” katanya semasa sidang media kementerian itu berkenaan pengurangan tarif oleh AS di sini.
Tambah beliau, antara produk utama yang dikekalkan pada kadar duti sifar ialah farmaseutikal dan semikonduktor, selain isu bukan tarif seperti piawaian sanitasi dan pensijilan halal yang berjaya diselesaikan tanpa menjejaskan keperluan peraturan atau sensitiviti agama negara.
“Kami mengambil pendekatan yang teliti dan menyeluruh dalam memutuskan tawaran akhir Malaysia kepada AS, melibatkan pelbagai agensi, kementerian dan pihak industri,” katanya.
Pengumuman itu dibuat selepas Malaysia berjaya merundingkan pengurangan kadar tarif import AS daripada 25 peratus kepada 19 peratus, susulan beberapa minggu rundingan intensif antara pegawai kanan Malaysia dan pentadbiran Presiden AS, Donald Trump.
Kadar tarif baharu itu akan berkuat kuasa pada 8 Ogos 2025, menjadikan Malaysia setaraf dengan beberapa rakan ASEAN seperti Indonesia, Filipina, Thailand dan Kemboja yang turut dikenakan kadar 19 peratus.
Zafrul berkata, hasil rundingan ini bukan sekadar kejayaan diplomatik, tetapi juga satu strategi perlindungan kepentingan nasional dalam sektor utama negara.
Beliau menegaskan Malaysia kekal tegas dalam beberapa perkara sensitif termasuk duti eksais ke atas kereta, tembakau dan alkohol, had pemilikan asing dalam sektor strategik, serta kerangka peraturan digital.
“Ini adalah kadar timbal balik yang kami anggap adil berdasarkan kedudukan semasa Malaysia berbanding negara jiran serta lanskap global semasa,” katanya.
Difahamkan, rundingan akhir melibatkan panggilan telefon antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Trump pada jam 6.50 pagi, serta perbincangan susulan antara pegawai MITI dan wakil perdagangan AS.
Zafrul turut mengadakan pertemuan dengan Duta AS ke Malaysia, Jamieson Greer, pada jam 2 pagi sebelum persetujuan akhir dicapai pada jam 5 pagi, disusuli kelulusan Kabinet untuk memuktamadkan pendirian negara.
Dalam aspek komersial, Malaysia turut mengesahkan komitmen untuk membeli 60 pesawat Boeing bernilai hampir AS$19 bilion secara berperingkat, sebagai sebahagian daripada kerjasama lebih luas yang dijangka memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
Beliau turut menggesa pengeksport tempatan memanfaatkan peluang menerusi 18 perjanjian perdagangan bebas (FTA) sedia ada dan mempelbagaikan pasaran eksport berikutan landskap tarif baharu AS.
Satu kenyataan bersama antara MITI dan U.S. Trade Representative (USTR) dijangka dikeluarkan hujung minggu ini bagi mengesahkan terma-terma yang telah dipersetujui.
Dengan perjanjian ini, Malaysia bukan sahaja mengelak kesan penuh tarif 25 peratus yang dicadangkan sebelum ini, malah berjaya mengekalkan dasar domestik yang penting, satu pencapaian yang digambarkan Zafrul sebagai “situasi menang-menang.”- UTUSAN