KOTA BHARU: Kelantan The Real Warriors (Kelantan TRW) telah menyempurnakan semua sekatan dikenakan oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan mungkin dapat menyelesaikan pendaftaran kesemua pemain pada minggu depan.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, Kelantan TRW sebenarnya mempunyai sembilan sekatan daripada FIFA berikutan hutang terdahulu dan kini telah menyelesaikan kesemuanya.
“Kini lapan sekatan daripada FIFA telah dikeluarkan daripada sistem, manakala satu sekatan lagi yang juga telah dibayar sedang dalam proses untuk dikeluarkan daripada sistem badan induk bola sepak dunia itu.
“Jadi saya boleh maklumkan hari ini, di pihak kelab, kita sudah menyempurnakan semua sekatan FIFA dan menjelang minggu hadapan boleh mendaftarkan semua pemain,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Jersi dan Pengenalan Pemain Serta Penaja Kelantan TRW di Tunjong, di sini hari ini.
Katanya, seorang lagi pemain import Kelantan TRW yang merupakan pemain kebangsaan Filipina baru tiba di Kuala Lumpur hari ini dan akan menyertai pasukan apabila selesai semua proses ditetapkan.
“Sekarang ini kita ada sembilan hingga 10 pemain import termasuk seorang anak Kelantan yang dilahirkan di Sweden. Kita terpaksa daftar dia sebagai pemain import kerana tidak memiliki MyKad walaupun semua ahli keluarganya mempunyai dokumen pengenalan diri rasmi itu.
“Dia baru berusia 20 tahun dan berbakat besar dan jika ada persetujuan daripada keluarganya, saya akan usahakan agar dia dapat memiliki MyKad seterusnya dapat didaftarkan sebagai pemain tempatan kita, bukan sebagai pemain naturalisasi atau warisan,” katanya.
Tambahnya, proses tersebut hampir sama dengan apa yang pernah dilalui oleh bekas pemain Kelantan, Brendan Gan namun terdapat sedikit perbezaan berikutan kedua-dua ibu-bapa pemain tersebut merupakan warga negara Malaysia.
Dalam pada itu, Annuar memberitahu, Kelantan TRW turut memiliki tunggakan gaji pemain tempatan yang akan dibawa ke hadapan sebagai tanggungan kelab untuk dilunaskan.
“Pihak pengurusan telah melunaskan semua tunggakan gaji pemain tempatan untuk tahun lepas dan bakinya adalah tunggakan untuk tiga hingga empat bulan bagi tahun semasa,” ujarnya.-UTUSAN