PETALING JAYA: Keputusan Amerika Syarikat (AS) menurunkan kadar tarif ke atas eksport Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus dilihat sedikit sebanyak mengurangkan tekanan terhadap pengeluar dan pengeksport tempatan, walaupun ia masih dianggap sebagai satu bentuk halangan perdagangan.
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), Datuk William Ng berkata, senua pihak perlu terus berusaha meningkatkan daya saing melalui kualiti, kepantasan dan nilai tambah produk.
Menurutnya, langkah itu masih memberikan kesan langsung kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan yang mengeksport ke pasaran AS, terutama dalam sektor seperti perabot, komponen elektronik, tekstil dan produk logam.
“Banyak PKS merupakan sebahagian daripada rantaian bekalan global dan sebarang kos tambahan seperti tarif akan terus menjejaskan daya saing mereka di pasaran antarabangsa.
“Sebahagian besar PKS juga masih belum cukup bersedia dari segi ketahanan dan keanjalan untuk menghadapi perubahan mendadak dalam dasar perdagangan global,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sehubungan itu, Samenta menyarankan pelaksanaan pelan mitigasi jangka panjang termasuk mempelbagaikan pasaran eksport agar tidak terlalu bergantung kepada AS, memperkukuh inovasi dan penjenamaan serta melabur dalam automasi, digitalisasi dan pensijilan.
“Kami juga menggesa kerajaan untuk memperkukuh rangkaian perjanjian perdagangan dua hala dan meneroka kemungkinan rundingan pengecualian tarif secara khusus bagi sektor-sektor kritikal,” ujarnya.
William berkata, Samenta turut menerima maklum balas daripada beberapa ahlinya, khususnya dalam sektor perabot dan pakaian, yang menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan kehilangan pelanggan sedia ada di AS.
“Kebanyakan pelanggan mereka kini sedang mempertimbangkan pembekal dari negara jiran yang menawarkan kos logistik dan operasi lebih rendah.
“Mereka juga bimbang terhadap ketidaktentuan dasar perdagangan global yang menyukarkan perancangan pelaburan dan pertumbuhan jangka sederhana,” katanya.
Bagaimanapun, William menyifatkan penurunan kadar tarif itu sebagai langkah positif yang meletakkan Malaysia setara dengan kebanyakan negara ASEAN lain, kecuali Vietnam (20 peratus), Brunei (25 peratus) dan Myanmar (40 peratus).
Sementara itu, Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman terkini oleh kerajaan Amerika Syarikat yang telah menyemak semula kadar tarif timbal balas ke atas eksport Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus.
“FMM melihat keputusan ini sebagai hasil kepada rundingan dan dialog yang membina antara kerajaan Malaysia dan AS, termasuk penglibatan langsung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden AS, Donald Trump.
“Kami merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta agensi-agensi berkaitan atas usaha berterusan mereka dalam memperjuangkan kepentingan industri Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya.
Jelas Thian Lai, keputusan ini merupakan langkah yang strategik dan tepat pada masanya, terutamanya dalam suasana perdagangan global yang mencabar ketika ini.
“Walaupun pengurangan sebanyak 6 mata peratusan mungkin dilihat kecil, ia memberi kesan besar kepada pemain industri terutamanya sektor yang beroperasi dengan margin keuntungan yang tipis atau bersaing dalam rantaian bekalan global yang sangat sensitif terhadap harga.
“Pengurangan tarif ini meningkatkan daya saing kos keseluruhan produk keluaran Malaysia di pasaran AS dan menjadi petunjuk positif ke arah hubungan perdagangan dua hala yang lebih erat.” katanya.
Mengulas lanjut, walaupun ada pandangan bahawa tarif ditanggung oleh pengimport AS, FMM percaya bahawa kos tarif biasanya ditanggung bersama oleh keseluruhan rantaian bekalan.
“Maka itu, penurunan tarif ini memberi manfaat bukan sahaja kepada pengeksport Malaysia, malah juga kepada pengimport AS. Ini akan menambah baik kos keseluruhan dan berpotensi merangsang permintaan terhadap produk Malaysia, khususnya dalam sektor yang sangat bergantung kepada harga dalam keputusan pembelian,” katanya.
Thian Lai, penyemakan semula tarif ini merupakan langkah penting ke arah mewujudkan hubungan perdagangan yang lebih seimbang dan saling menguntungkan antara Malaysia dan AS.
“Ia dijangka menyokong pertumbuhan eksport, memperluas akses pasaran dan mengukuhkan lagi hubungan ekonomi dua hala yang sedia terjalin sejak sekian lama.
“Walaupun masih terlalu awal untuk menilai kesan keseluruhan, FMM menjangkakan bahawa beberapa industri berorientasikan eksport termasuk sektor elektrik dan elektronik (E&E), mesin dan peralatan (M&E), produk berasaskan getah dan barangan industri terproses – berpotensi menerima manfaat daripada peningkatan daya saing dan pertumbuhan permintaan.
FMM juga menjangka bahawa sebarang perubahan dalam jumlah eksport dalam jangka masa terdekat akan berlaku secara beransur-ansur.
Walaupun mungkin terdapat ‘front-loading’ atau tempahan awal sebelum ini, pengurangan tarif ini berkemungkinan menggalakkan lebih banyak pengeksport mengambil tempahan baharu pada masa hadapan.
Pengilang akan kekal berwaspada terhadap ketidaktentuan pasaran global, termasuk gangguan berterusan dalam rantaian bekalan, dan akan mengambil kira faktor-faktor ini dalam merancang serta menyesuaikan strategi mereka terhadap perubahan permintaan pasaran.
FMM kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan dan pihak industri bagi memastikan pengilang-pengilang Malaysia berada dalam posisi terbaik untuk merebut peluang baharu dalam persekitaran global yang dinamik.-UTUSAN