Malaysia perlu kuasai reka bentuk cip, kurangkan kebergantungan

Perniagaan

PETALING JAYA: Malaysia disaran mempercepat usaha menguasai keseluruhan rantaian nilai industri semikonduktor termasuk reka bentuk cip bagi mengurangkan kebergantungan kepada kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan Taiwan.

Penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, meskipun Malaysia kini merupakan pengeksport keenam terbesar dunia dengan sumbangan 15 peratus kepada pasaran global, negara masih tertumpu kepada aktiviti asas seperti pemasangan, pengasingan dan pembungkusan cip.

“Kita belum kuasai aspek bernilai tinggi seperti reka bentuk cip yang kini dimonopoli firma dari Taiwan dan AS.

“Jika negara-negara ini menyekat eksport bahan mentah, industri semikonduktor kita boleh lumpuh. Sebab itu kita perlu beralih kepada penguasaan penuh termasuk bahagian reka bentuk,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, langkah kerajaan memperuntukkan lebih RM1 bilion untuk melatih tenaga mahir dalam bidang reka bentuk semikonduktor adalah selari matlamat Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) meningkatkan daya saing teknologi dan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam industri global.

“Begitu juga dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), kita belum capai penguasaan penuh. Kita perlu bina kepakaran bukan hanya dalam penggunaan, tetapi dalam pembangunan teknologi dan penciptaan aplikasi AI tempatan,” jelasnya.

Menyentuh mengenai peruntukan besar RM227 bilion di bawah RMK13 untuk sektor ekonomi, beliau berkata, pelaksanaan berkesan bergantung kepada kejelasan dan penyelarasan dalam bajet tahunan.

“Daripada jumlah keseluruhan RM430 bilion, hampir separuh diperuntukkan untuk sektor ekonomi. Namun, kita perlu tahu bagaimana ia diterjemahkan dalam bajet tahunan,  misalnya, adakah akan ada RM40 bilion setiap tahun khusus untuk pembangunan ekonomi?.

“Tanpa penyelarasan yang jelas antara RMK13 dan bajet tahunan, sukar untuk capai impak maksimum kepada ekonomi dan rakyat,” ujarnya.

Tambahnya, pembangunan ekonomi bukan hanya melibatkan sektor industri, tetapi juga meliputi pembangunan modal insan dan pemeliharaan alam sekitar sejajar dengan Agenda Pembangunan Mampan (SDG).

Dalam pada itu, mengulas sasaran nilai eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) menghampiri RM1 trilion menjelang 2030, beliau berkata, kelebihan utama negara terletak pada ekosistem E&E sedia ada dan hubungan dagang antarabangsa.

Bagaimanapun, katanya, cabaran terbesar ketika ini ialah risiko dasar geopolitik terutama dari Amerika Syarikat yang sedang menyemak semula dasar eksport cip ke Malaysia.

“Malaysia terlalu bergantung kepada cip dari AS. Jika berlaku sekatan, industri kita terjejas. Jadi penyelesaiannya adalah kita hasilkan cip tersuai sendiri, bukan hanya pasang dan bungkus.

“Jika kita boleh hasilkan cip dengan reka bentuk tersendiri untuk aplikasi tertentu, kita boleh berdagang dengan semua pihak termasuk China, tanpa terlalu bergantung kepada dasar AS,” katanya.-UTUSAN