MIC sedia runding kerjasama dengan parti lain

Politik

SUNGAI SIPUT: Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran tidak menolak kemungkinan untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti lain demi memastikan kelangsungan dan masa depan MIC terus terjamin.

Beliau berkata, MIC bersikap terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak yang berhasrat menjalin kerjasama dengan parti itu.

“Kita membuat keputusan supaya seseorang pemimpin itu harus membuat keputusan mengikut kebaikan parti. Maka saya buat keputusan untuk membuka ruang perbincangan dengan parti-parti lain.

“Sebagai presiden, kalau itu untuk kebaikan parti, saya akan buat apa juga yang perlu untuk mengukuhkan kedudukan MIC,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen MIC Ke-79 di Pusat Konvensyen Tun Samy Vellu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi MIC Perak, Tan Sri M. Ramasamy.

Mengulas lanjut beliau berkata, keputusan itu diambil sebagai langkah strategik untuk terus membela kepentingan dan masa depan masyarakat India di negara ini.

Tegas beliau, keputusan itu diharap tidak dipertikaikan kerana ia dibuat berdasarkan kepentingan parti bukan kerana sebarang tekanan daripada mana-mana pihak.

“Saya ini presiden parti. Saya tidak salahkan orang. Semua orang pun dalam keadaan susah. Tapi mereka juga tidak boleh salahkan kita.

“Kalau kita lemah, kita terima. Tapi kita akan buat keputusan yang munasabah demi memperkasakan parti ini,” ujar beliau.

Dalam pada itu beliau melahirkan rasa kesal dengan tindakan seorang pemimpin DAP Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) apabila mengeluarkan kenyataan menyinggung MIC.

Katanya, biarpun MIC tiada di dalam Kabinet, parti itu tetap menunaikan janji untuk menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi penggal ini.

“Bukan kita takut tapi kita sebenarnya hormat. Kita sudah pun beri keyakinan dan komitmen kepada Perdana Menteri yang kita akan beri kerjasama kepada kerajaan selama lima tahun,” katanya. – UTUSAN