Harapan final sesama Malaysia lenyap

Sukan

PETALING JAYA: Impian menyaksikan dua beregu campuran negara berentap sesama sendiri di pentas final Terbuka Macau berkecai jua akhirnya.

Gandingan No. 1 negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dikejutkan oleh pasangan Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje dalam aksi separuh akhir, hari ini.

Biarpun memenangi set pertama, gandingan pilihan utama kejohanan itu longlai selepas itu untuk tewas 21-15, 17-21, 11-21 di Dewan Sukan Asia Timur, Macau.

Kekalahan tersebut memadam harapan melihat pertemuan ‘all-Malaysian final’ selepas satu lagi pasangan negara, Jimmy Wong-Lai Pei Jing terlebih dahulu menempah tiket akhir.

Jimmy-Pei Jing muncul wira tidak diduga apabila menumbangkan pilihan keenam kejohanan, Amri Syahnawi-Nita Violina Marwah dari Indonesia secara straight set.

Pasangan profesional negara itu menang 21-18, 21-16 dalam tempoh hanya 37 minit untuk mara ke final keempat musim ini.

Bagaimanapun, pentas akhir kali ini menjanjikan cabaran getir apabila mereka perlu menentang Christiansen-Boje yang berpengalaman luas di pentas antarabangsa.

Kejayaan mara ke final tersebut menyuntik semangat baharu buat Jimmy-Pei Jing yang masih memburu gelaran sulung musim 2025.

Dalam pada itu, Arif Junaidi-Yap Roy King pula melengkapkan dominasi Malaysia ke pentas final dalam kategori beregu lelaki.

Gandingan muda negara itu tidak berdepan masalah menyingkirkan rakan senegara, Choong Hon Jian-Haikal Nazri 21-13, 21-15 dalam pertarungan sesama sendiri.

Secara keseluruhan, tiga wakil negara berjaya menempatkan diri ke final Terbuka Macau yang dijadual berlangsung esok. – UTUSAN