Sydney, Masai tempah tiket ke Kejohanan Dunia di Tokyo

Sukan

EUGENE: Dua jaguh olahraga Olimpik, Sydney McLaughlin-Levrone dan Masai Russell, menampilkan larian bertenaga dalam Ujian Kelayakan Olahraga Amerika Syarikat (AS), sekali gus melayakkan diri ke Kejohanan Dunia di Tokyo, September ini.

Sydney yang juga juara Olimpik dua kali dalam acara 400 meter berpagar, mencuri tumpuan apabila menamatkan saingan 400m wanita dengan catatan cemerlang 48.90 saat di Hayward Field, menewaskan Isabella Whittaker (49.59s) dan Aaliyah Butler (49.91s).

“Saya mahu cabar diri tahun ini. Walaupun tidak selesa, saya nekad mencuba sesuatu yang baharu,” katanya, merujuk keputusan meninggalkan acara berpagar buat sementara waktu.

Sementara itu, Masai Russell yang sebelum ini merangkul emas acara 100m berpagar wanita di Sukan Olimpik Paris, meneruskan rentak cemerlang apabila mencatat masa 12.22 saat untuk mengatasi Grace Stark (12.31s) dan Alaysha Johnson (12.36s).

Atlet berusia 25 tahun itu sebelum ini membuka musim dengan mencipta rekod AS 12.17s pada Mei lalu, namun sempat berdepan kecederaan buku lali yang hampir menjejaskan persiapannya.

“Saya hampir akhiri musim ini dua bulan lepas sebab tak boleh berjalan.Tapi saya tahu ini matlamat saya. 

“Menang emas Olimpik buatkan saya rasa lebih bertanggungjawab. Orang ramai jangka saya kekalkan prestasi,” katanya.

Dalam acara 1,500m lelaki, juara Olimpik Cole Hocker sekadar berpuas hati di tempat ketiga selepas tersekat dalam kelompok pelari pada 200 meter terakhir.

Kemenangan menjadi milik atlet kelahiran Kenya, Jonah Koech dengan masa 3 minit 30.17 saat, diikuti Ethan Strand (3:30.25s) dan Hocker (3:30.37s).-AGENSI