Malaysia dominasi Kejohanan Boling Remaja Asia

Sukan

PETALING JAYA: Skuad boling remaja negara melakar kejayaan membanggakan apabila muncul juara keseluruhan pada Kejohanan Remaja Asia ke-24 yang berlangsung di Doha, Qatar.

Malaysia menamatkan kempen dengan tujuh pingat emas, satu perak dan lima gangsa, sekali gus meraih gelaran juara keseluruhan selain membolot kejuaraan individu bagi kategori lelaki dan wanita.

Kejayaan cemerlang itu turut mendapat pujian Setiausaha Agung Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Maradona Chok, yang menyifatkan kejayaan itu sebagai satu pencapaian luar biasa.

“Saya sangat bangga dan tersentuh dengan prestasi pasukan remaja Malaysia di Kejohanan Remaja Asia ini. Rata-rata pemain pertama kali menyarung jersi kebangsaan.

“Memenangi gelaran keseluruhan, termasuk kejuaraan lelaki dan wanita, dengan kutipan tujuh emas, satu perak dan lima gangsa adalah sesuatu yang amat membanggakan,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap semangat berpasukan yang ditunjukkan kesemua pemain, sambil menyifatkan kejayaan Qurratu’Ain Izdihar Mohd Pozi meraih lima pingat emas sebagai antara detik paling menyerlah sepanjang kejohanan tersebut.

“Namun, kejayaan itu tidak akan tercapai tanpa sokongan tidak berbelah bahagi daripada rakan sepasukannya.

“Apa yang paling menyentuh hati saya ialah bagaimana mereka saling menyokong dan tidak pernah berputus asa. Kesatuan inilah yang menjadi kekuatan utama pasukan ini,” katanya.

Dalam perlawanan akhir acara Stepladder Wanita, Qurratu’Ain mempamerkan aksi cemerlang untuk membawa pulang emas dengan 378 jatuhan pin, manakala rakan senegara Adelia Nur Irwan Syazalee meraih perak dengan 370 sementara tempat ketiga milik atlet dari Taiwan, Huang Hsin Tsen dengan 213.

Sementara itu, Mohd Aqil Faizal meraih pingat emas dalam acara Stepladder Lelaki dengan 461 jatuhan pin, mengatasi wakil Kuwait, Nasser Alkandari (404) dan pemain Hong Kong, Dylan Lam (191).-UTUSAN