Swiatek tersingkir awal di Montreal, Tauson cipta kejutan

Sukan

MONTREAL: Pemain tenis sensasi Poland, Iga Swiatek menjadi mangsa terbaharu kejutan di Terbuka Kanada apabila ditunjukkan jalan keluar oleh wakil Denmark, Dane Clara Tauson dalam aksi pusingan 16, hari ini.

Juara Wimbledon dan pilihan kedua kejohanan itu gagal mengekang asakan bertenaga Tauson sebelum tunduk 6-7(1), 3-6 dalam perlawanan yang berlangsung dalam keadaan berangin di Kompleks Tenis IGA, Montreal.

Tauson, 22, yang juga pilihan ke-16 kejohanan, mempamerkan permainan penuh kreativiti serta ketenangan luar biasa untuk mengetepikan juara Grand Slam enam kali itu sekali gus mara ke suku akhir.

“Keadaan di sini agak mencabar dengan angin, tapi saya cuba untuk kekal tenang dan terus fokus. Walaupun saya dipatahkan pada set kedua, keyakinan saya tidak terjejas,” kata Tauson selepas tamat perlawanan.

Kekalahan itu menyusuli satu lagi kejutan pada Sabtu apabila pilihan utama, Coco Gauff turut tersingkir selepas tewas straight set kepada pemain muda Kanada, Victoria Mboko.

Kedua-dua Swiatek dan Gauff kini dilihat perlu segera memperbaiki persembahan mereka menjelang cabaran sebenar di Terbuka Amerika Syarikat (AS) hujung bulan ini.

Dalam pada itu, Tauson bakal berdepan cabaran getir di suku akhir apabila bertemu Madison Keys yang sebelum ini menyelamatkan dua mata perlawanan sebelum mencatat kemenangan ke atas Karolina Muchova dari Republik Czech, 4-6, 6-3, 7-5.

Untuk rekod, Tauson pernah menewaskan Keys dalam pertemuan sebelum ini di Auckland, Januari lalu sebelum pemain Amerika Syarikat itu menamatkan kemarau dengan meraih kejuaraan Grand Slam pertama di Terbuka Australia.  – AGENSI