Peluang Luqman Hakim pamer bisa di Liga M

Sukan

SEREMBAN: Penyerang Negeri Sembilan FC (NSFC), Luqman Hakim Shamsudin tidak menganggap sudah terlewat untuk beliau mempamerkan sentuhan di Liga Malaysia (Liga M) selepas lebih empat tahun berkelana di luar negara.

Sebaliknya, pemain berusia 23 tahun itu percaya musim 2025/2026 adalah masa yang terbaik untuknya beraksi di liga tempatan dan mencurahkan semua pengalaman yang ditimba semasa beraksi bersama beberapa kelab di luar negara.

“Bagi saya terlambat atau tidak jadi isu kerana ini adalah masa yang terbaik untuk saya selepas lebih 4 tahun berkelana di luar negara.

“Sekarang adalah masa untuk saya mengembalikan semangat dan kepercayaan baharu dan saya percaya boleh lakukannya dengan lebih baik,” katanya.

Luqman Hakim pernah bermain untuk kelab divisyen pertama Belgium, K.V Kortrijk mulai 2020 sebelum dipinjamkan ke Njardvik (Iceland) dan Yokohama SCC (Jepun).

Anak bongsu daripada enam beradik itu kehilangan bapa, Shamsuddin Mahmood yang meninggal dunia pada 3 November tahun lalu ketika beliau bermain di Jepun.

Luqman Hakim kini menjadi taruhan NSFC memacu jentera serangan pasukan itu dalam Liga Super musim ini yang membuka tirai pada Jumaat ini.

“Harapan dan sokongan ayah sentiasa menjadi inspirasi dan pembakar semangat untuk saya mempamerkan aksi terbaik di liga kelak,” katanya.

Mengenai barisan serangan NSFC, Luqman Hakim memberitahu, beliau kini semakin serasi dengan gandingan yang dirancang oleh Ketua Jurulatih, Mohd. Nidzam Jamil.

Jelasnya, beliau bakal digandingkan dengan N. Javabilaarivin, Muhammad Zaim Iqbal Zulkarnain dan bekas pemain kebangsaan Ghana, Joesph Esso.

“Persefahaman antara kami semakin baik setiap hari dan ia membantu pasukan membentuk jentera serangan yang serasi,” ujarnya.

NSFC akan berkunjung ke Iskandar Puteri, Johor Bahru dalam perlawanan sulung pasukan itu menentang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 12 Ogos ini.-UTUSAN