Boeing, CAAM perkenal konsep baharu operasi trafik udara di KLIA

Perniagaan

PUTRAJAYA: Boeing dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menjalinkan kerjasama strategik bagi mempertingkatkan kecekapan operasi trafik udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kerjasama tersebut bakal menyaksikan penyelarasan lebih lancar antara juruterbang dan pengawal trafik udara, sekali gus memperkemas pengurusan trafik udara di salah satu lapangan terbang tersibuk di Asia Tenggara.

Menurut kenyataan bersama Boeing dan CAAM, konsep operasi baharu yang dibangunkan hasil kerjasama erat antara CAAM dan Boeing itu akan memperbaiki prosedur pesawat ketika menghampiri dan mendarat di KLIA melalui penggunaan laluan penerbangan dan profil penurunan yang lebih bijak.

“Langkah ini bukan sahaja akan mengurangkan penggunaan bahan api dan kelewatan penerbangan, malah dapat dilaksanakan tanpa perlu mengubah reka bentuk ruang udara sedia ada.

“Konsep berkenaan kini sedang melalui proses semakan dan pensijilan kawal selia di Malaysia sebelum dilaksanakan secara rasmi. Setelah disahkan, Boeing akan terus menyokong CAAM dalam proses pelaksanaan,” katanya hari ini.

Boeing turut memanfaatkan kepakarannya dalam bidang prestasi pesawat dan pengurusan trafik udara bagi menyokong matlamat pembangunan industri penerbangan negara.

Naib Presiden Kanan Strategi Produk dan Pembangunan Boeing Commercial Airplanes, Mike Sinnett berkata, pertumbuhan penumpang udara di Malaysia dijangka meningkat sebanyak 50 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Kami komited untuk menyokong industri penerbangan awam Malaysia dan bekerjasama dengan CAAM dalam menyediakan penyelesaian mampan dan jangka panjang yang dapat meningkatkan keselamatan serta kecekapan sistem trafik udara moden negara ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, inisiatif itu merupakan langkah penting dalam menyelaraskan sistem pengurusan trafik udara Malaysia dengan amalan terbaik antarabangsa.

“Dengan menjalin kerjasama bersama Boeing, kita mengoptimumkan operasi di KLIA menggunakan kepakaran global, sekali gus memastikan Malaysia bersedia menghadapi pertumbuhan masa depan secara selamat dan lestari.

“Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan CAAM terhadap inovasi dan kecemerlangan kawal selia dalam sektor penerbangan negara,” ujarnya. – UTUSAN