Sime Darby, TRCRC jalin kerjasama pulih biodiversiti bandar

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Sime Darby Property Berhad dan Tropical Rainforest Conservation & Research Centre (TRCRC) memeterai kerjasama strategik selama lima tahun bagi memulih dan memperkasa biodiversiti bandar, khususnya di Bandar Elmina.

Memorandum persefahaman (MoU) itu menandakan permulaan kepada usaha bersama untuk mengintegrasikan pendekatan berteraskan ekologi ke dalam pembangunan bandar, merangkumi penyelidikan biodiversiti, pemuliharaan spesies asli, pemulihan ekologi serta penglibatan komuniti.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, usaha memperkasa biodiversiti bandar bukan sahaja memberikan manfaat kepada alam sekitar, malah menjanjikan pulangan ekonomi dan sosial yang mampan untuk jangka panjang.

“Pelaburan dalam bandar hijau menghasilkan udara lebih bersih, mewujudkan ruang rekreasi seperti taman dan menarik kedatangan pelancong serta pelabur.

“Kita bukan hanya bercakap soal pulangan kewangan, tetapi juga pulangan kepada alam sekitar dan kesejahteraan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis pertukaran MoU tersebut di sini hari ini.

Kerjasama itu turut mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam menyokong keutamaan alam sekitar Malaysia serta matlamat biodiversiti global ke arah membina ekosistem bandar yang lebih berdaya tahan, inklusif dan mampan.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, persekitaran hijau turut memberi kesan positif terhadap kesihatan mental dan fizikal masyarakat, selain meningkatkan nilai hartanah.

“Bayangkan jika kediaman dikelilingi pokok dan tasik, dengan bunyi burung seperti di kampung, ia menenangkan jiwa dan menyumbang kepada kehidupan yang lebih sihat.

“Orang hari ini bukan sekadar membeli rumah, mereka membeli persekitaran. Rumah yang hijau, bersih dan menenangkan menjadi pilihan dan pembeli sanggup membayar premium untuk nilai ini,” katanya. – UTUSAN