KUALA LUMPUR: Pelaksanaan sistem e-Invois oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) adalah antara pencapaian penting dalam agenda transformasi sistem percukaian negara.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, inisiatif itu merupakan anjakan asas dalam cara kerajaan memantau, mengurus dan berinteraksi dengan data pembayar cukai secara masa nyata.
“Ia bukan hanya penambahbaikan teknologi, tetapi langkah strategik untuk meningkatkan ketelusan, mengurangkan kos pematuhan, membendung ketirisan dan memperkukuh keberkesanan audit,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Cukai Kebangsaan 2025 di sini hari ini.
Katanya, pelaksanaan e-Invois turut menyokong agenda pendigitalan kerajaan dan mampu meningkatkan kecekapan operasi perniagaan pelbagai saiz, sekali gus mewujudkan ekosistem percukaian yang lebih telus dan berakauntabiliti.
“Landskap percukaian semasa telah berkembang daripada sekadar pematuhan dan kutipan hasil kepada bidang yang menekankan kepercayaan, ketelusan dan transformasi.
“Sistem cukai moden bukan sahaja perlu menjana pendapatan negara, malah perlu memberi keyakinan kepada rakyat, menggalakkan pematuhan secara sukarela dan menyokong pembangunan negara dalam persekitaran ekonomi global yang semakin kompleks,” katanya.
Amir Hamzah turut menegaskan komitmen Malaysia dalam melaksanakan Cukai Minimum Global (GMT) di bawah Rangka Keria Inklusif Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) sebagai langkah selaras dengan standard antarabangsa serta usaha melindungi hak percukaian negara.
“Langkah ini penting untuk menangani isu penghakisan asas dan pemindahan keuntungan (BEPS), serta memastikan syarikat multinasional menyumbang secara adil di negara tempat mereka beroperasi.
“Reformasi utama yang dilaksanakan adalah strategi jangka panjang untuk memastikan sistem percukaian negara kekal relevan dan berdaya tahan dalam persekitaran global.
“Dengan menerapkan inovasi serta penjajaran kepada kerangka global, Malaysia memperkukuh daya saing, melindungi kedaulatan fiskal dan mewujudkan padang permainan yang seimbang untuk menyokong pertumbuhan ekonomi mampan,” katanya.
Tambah beliau, kejayaan pelaksanaan inisiatif tersebut bergantung kepada kerjasama erat antara pentadbir awam dan profesional percukaian.
“Komitmen terhadap pembangunan kapasiti, libat urus berterusan dan penambahbaikan sistemik akan menjadi penentu kejayaan pelaksanaan dasar ini,” katanya. – UTUSAN