KUALA LUMPUR: Kerajaan belum bersedia untuk membuat sebarang keputusan muktamad mengenai pelaksanaan Perintah Menjelaskan Sumber Kekayaan (UWO) dan cadangan tersebut perlu dikaji secara teliti.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, cadangan berkenaan merupakan antara idea yang wajar diberi perhatian tetapi memerlukan kajian menyeluruh sebelum sebarang tindakan diambil.
“Kita tidak boleh terburu-buru dalam melaksanakannya. Saya menerima cadangan untuk menilai pelaksanaan UWO dan kita akan melihatnya dengan serius.
“Bagaimanapun, buat masa ini, kerajaan masih belum bersedia untuk membuat keputusan muktamad,” katanya ketika ditemui pada Persidangan Percukaian Kebangsaan 2025 di sini hari ini.
Baru-baru ini, media melaporkan, bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, menggesa kerajaan supaya menggubal undang-undang bagi membolehkan pengeluaran UWO bagi menangani kekayaan haram dan rasuah sistemik dalam kalangan golongan elit.
Beliau berkata, United Kingdom (UK) berjaya memulihkan sebanyak £62.9 juta (RM390 juta) dalam tempoh setahun menerusi perintah tersebut dan tindakan sivil yang berkaitan.
Beliau berkata, sebarang dasar baharu termasuk UWO perlu melalui proses penyelidikan dan pemahaman mendalam bagi menilai implikasinya kepada ekonomi serta rakyat secara keseluruhan.
“Kita tidak mahu melaksanakan sesuatu dasar yang akhirnya membawa kesan negatif atau tidak diingini. Apa yang penting ialah memahami implikasinya secara menyeluruh sebelum membuat sebarang ketetapan,” ujarnya.
Mengulas mengenai pelaksanaan cukai ke atas barangan bernilai tinggi, Amir Hamzah berkata, kerajaan sentiasa mengambil pendekatan bersasar bagi memastikan beban cukai hanya dikenakan kepada golongan yang berkemampuan.
“Sebagai contoh, apabila kita perluaskan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kita teliti segmen yang mampu menanggung beban cukai.
“Barangan asas yang digunakan rakyat secara meluas dikecualikan daripada SST, manakala cukai hanya dikenakan ke atas barangan pilihan atau mewah,” katanya.
Katanya, bagi sektor perubatan, cukai dikenakan kepada warga asing yang mendapatkan rawatan di negara ini manakala dalam sektor pendidikan, ia hanya dikenakan kepada kumpulan berkemampuan dengan ambang umur melebihi 60 tahun.
Sementara itu, mengulas mengenai penambahbaikan sistem KWSP agar simpanan tidak dihabiskan terlalu awal oleh pencarum, beliau berkata, ia sedang diperhalusi dan telah pun diberikan penjelasan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU).
“Idea utamanya ialah membangunkan satu sistem yang lebih mampan, contohnya seperti sistem pencen di mana simpanan tidak dikeluarkan sekali gus, tetapi dibayar secara berkala setiap bulan.
“Kita sedar bahawa ramai pencarum yang menghabiskan simpanan terlalu cepat selepas persaraan, lalu menghadapi kesukaran kewangan pada penghujung usia. Oleh itu, kita perlu buat kajian menyeluruh terhadap perkara ini,” katanya. – UTUSAN